SARIKEI: Penduduk di Jalan Ann Hock, Sungai Sebanyak kini menikmati kemudahan jambatan konkrit baharu bernilai RM449,000 yang dibina bagi menggantikan jambatan papan lama yang uzur.
Projek sepanjang 36 meter itu berjaya direalisasikan hasil usaha berterusan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii dalam mendapatkan peruntukan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, jambatan konkrit baharu yang mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan itu kini dibuka kepada orang ramai dan dijangka memberi manfaat kepada penduduk setempat menerusi sistem perhubungan yang lebih selamat serta lancar.
“Jambatan papan sedia ada sebelum ini telah uzur dan mengalami kerosakan akibat faktor usia, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna.

“Sebaik menerima aduan daripada penduduk setempat, saya segera mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk membina jambatan baharu dan berjaya mendapatkan peruntukan bagi melaksanakan projek berkenaan demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan penduduk,” katanya.
Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika dihubungi media, semalam.
Terdahulu, beliau bersama pegawai Jabatan RISDA mengadakan lawatan ke lokasi berkenaan bagi meninjau jambatan konkrit yang telah siap dibina serta melihat sendiri hasil pelaksanaan projek tersebut.
Beliau berkata, pembinaan jalan raya dan jambatan merupakan antara infrastruktur asas yang menjadi pemangkin kepada pembangunan luar bandar kerana mampu memperkukuh jaringan perhubungan serta memudahkan urusan harian penduduk.
“Sepanjang hampir 11 tahun diberi amanah sebagai wakil rakyat, saya sentiasa berusaha mendapatkan pelbagai peruntukan pembangunan daripada kerajaan bagi menambah baik kemudahan asas di kawasan luar bandar.
“Matlamatnya adalah untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat serta merangsang pembangunan setempat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pengundi yang terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepadanya sepanjang tempoh berkhidmat sebagai wakil rakyat.
“Sarikei ialah kampung halaman saya dan rakyat di sini merupakan keluarga besar saya.
“Kita telah melalui pelbagai cabaran bersama dan akan terus berganding bahu membangunkan kawasan ini.
“Melalui peruntukan kerajaan, kita akan terus melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk menaik taraf jalan dan jambatan, memperkukuh kemudahan sekolah, merancakkan pembangunan ekonomi serta membantu pembangunan rumah ibadat demi meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan berwawasan serta sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat.
Katanya, kesinambungan dasar pembangunan yang dilaksanakan di bawah kepimpinan Premier Sarawak menjadi antara faktor penting yang membolehkan negeri ini terus mencatat kemajuan dan membawa manfaat kepada rakyat di kawasan bandar mahupun luar bandar.




