BINTANGOR: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong terus memperkasa disiplin, profesionalisme dan keseragaman anggotanya menerusi pelaksanaan latihan kawad bulanan yang diadakan di padang kawad IPD Meradong, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, latihan berkenaan melibatkan 21 anggota polis terdiri daripada seorang Pegawai Kanan Polis (PKP) dan 20 Pegawai Rendah Polis (PRP).
Menurutnya, latihan itu dikendalikan oleh Inspektor Mohd Salman Sheekandar selaku pegawai penyelaras bersama barisan jurulatih yang memberi penekanan terhadap penguasaan kemahiran asas kawad mengikut prosedur ditetapkan.


LATIHAN KAWAD… Anggota IPD Meradong menyertai latihan kawad bulanan di padang kawad IPD Meradong, pagi tadi. Foto IPD Meradong.
“Latihan ini memberi penekanan terhadap ulang kaji tatacara pemberian kata perintah, pergerakan kawad kaki secara statik dan praktikal, hormat ke kanan hormat serta latihan pergerakan menghadap dan berpusing mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Selain memperkukuh kemahiran asas kawad, latihan ini turut bertujuan meningkatkan tahap disiplin, kekemasan dan keseragaman pergerakan dalam kalangan warga IPD Meradong,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, secara keseluruhannya latihan tersebut berjalan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan hasil kerjasama serta komitmen tinggi yang ditunjukkan semua peserta.
“Latihan berkala seumpama ini akan terus dilaksanakan sebagai usaha memperkasakan kompetensi anggota, di samping mengekalkan tahap disiplin dan kesiapsiagaan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.
Oleh Earl Anek




