Hari Potensi KEMAS, platform mengiktiraf bakat dan sahsiah anak-anak Sri Aman

Facebook
WhatsApp
HARI Potensi Kanak-Kanak TABIKA/TASKA KEMAS Zon 2 Tahun 2026 mengetengahkan bakat dan potensi kanak-kanak di Sri Aman. Foto Ahli Parlimen Sri Aman

SIMANGGANG: Pendidikan awal kanak-kanak perlu terus diperkasakan sebagai asas membentuk generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing demi masa depan negara.

Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata usaha membangunkan potensi kanak-kanak memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa, guru dan masyarakat bagi memastikan setiap anak mendapat peluang mengembangkan bakat serta kebolehan mereka.

DATO’ Sri Doris Sophia Brodie menyempurnakan majlis penutupan Hari Potensi Kanak-Kanak TABIKA/TASKA KEMAS Zon 2 Tahun 2026 di Dewan Suarah Sri Aman, hari ini. Foto Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Aman

“Setiap anak mempunyai keistimewaan tersendiri sama ada dalam akademik, seni, kepimpinan mahupun aktiviti fizikal.

“Tanggungjawab kita ialah mengenal pasti potensi tersebut, membimbing serta menyediakan peluang agar mereka terus berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Hari Potensi Kanak-Kanak TABIKA/TASKA KEMAS Zon 2 Tahun 2026 di Dewan Suarah Sri Aman, di sini hari ini.

Doris turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Sri Aman selaku tuan rumah, selain mengucapkan tahniah kepada para guru, ibu bapa serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan.

Menurut beliau, majlis itu bukan sekadar acara penutup atau penyampaian hadiah, malah menjadi platform mengiktiraf usaha, bakat dan potensi luar biasa yang dimiliki setiap kanak-kanak sejak peringkat awal pendidikan.

Beliau turut memuji peranan KEMAS yang disifatkannya telah sekian lama menyumbang kepada pembangunan masyarakat luar bandar melalui pendidikan awal kanak-kanak, pembangunan kemahiran, literasi digital, keusahawanan serta pelbagai program pembangunan komuniti.

DATO’ Sri Doris Sophia Brodie (tengah) bergambar bersama hadirin pada majlis penutupan Hari Potensi Kanak-Kanak TABIKA/TASKA KEMAS Zon 2 Tahun 2026 di Dewan Suarah Sri Aman, hari ini. Foto Ahli Parlimen Sri Aman

“Pendidikan awal merupakan asas penting dalam membentuk sahsiah, nilai murni, keyakinan diri dan kemahiran sosial seseorang anak, justeru ibu bapa digesa supaya sentiasa meluangkan masa bersama anak-anak serta memberikan kasih sayang, perhatian dan sokongan yang berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, Doris menasihati semua kanak-kanak yang diraikan supaya terus rajin belajar, menghormati ibu bapa dan guru serta berani mengejar cita-cita demi mencapai kejayaan pada masa hadapan.

“Semoga suatu hari nanti kalian menjadi insan yang berjaya dan membanggakan keluarga, Sri Aman, Sarawak serta negara Malaysia,” katanya.

Turut hadir wakil Pengarah KEMAS Sarawak Napsiah Suhaili; wakil Residen Bahagian Sri Aman Ramon Addy; wakil Pegawai Daerah Sri Aman Dorathy Daniel; Pegawai KEMAS Daerah Sri Aman Marinda Steward serta Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pengurusan Sekolah Yakup Spri.

Oleh Adi Safarman