MIRI: Beban perbelanjaan 17 keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bekenu sedikit sebanyak diringankan menerusi sumbangan barangan keperluan harian oleh Kelab Lions Batu Niah dalam satu program kebajikan yang diadakan baru-baru ini.
Sumbangan itu membabitkan pelbagai barangan keperluan asas, termasuk beras 10 kilogram (kg), tepung, bihun, mi segera, biskut, makanan dalam tin, garam dan minyak masak.
Program tersebut bertujuan menyantuni golongan yang memerlukan, di samping memberi sokongan moral kepada kanak-kanak berkeperluan khas serta keluarga mereka.
Sumbangan berkenaan ditaja bersama oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man serta Presiden Kelab Lions Batu Niah Andy Jong Wan Joon, sebelum diserahkan kepada pihak PPDK Bekenu.
Presidennya Andy berkata Kelab Lions Antarabangsa sentiasa berpegang kepada moto “Kami Berkhidmat” dengan menjadikan khidmat kepada masyarakat sebagai misi utama pertubuhan itu.
“Setiap kanak-kanak adalah harapan masa depan masyarakat. Kanak-kanak berkeperluan khas khususnya memerlukan lebih banyak kasih sayang, dorongan dan sokongan daripada masyarakat.
“Kami berharap sumbangan kepada 17 pelajar ini bukan sahaja dapat meringankan beban keluarga mereka, malah menyampaikan mesej bahawa mereka tidak pernah dilupakan oleh masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, kelab itu akan terus komited melaksanakan pelbagai program khidmat masyarakat dan kebajikan dengan memberi perhatian kepada keperluan kanak-kanak, warga emas serta golongan kurang bernasib baik.
Menurutnya, usaha berterusan itu diharap dapat menghimpunkan lebih banyak sokongan daripada masyarakat agar lebih ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu, sekali gus membina komuniti yang lebih penyayang, prihatin dan saling membantu.
Oleh Liong Chai Ling




