Jaringan Lopes Cabral dinobat Gol Terbaik Piala Dunia FIFA 2026

Facebook
WhatsApp
PEMAIN Cape Verde, Sidny Lopes Cabral, dipilih sebagai penerima Gol Terbaik Kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 selepas jaringan menakjubkannya ketika menentang Argentina pada pusingan 32 terbaik. Foto Agensi

GENEVA:  Jaringan menakjubkan pemain Cape Verde Sidny Lopes Cabral ketika menentang Argentina pada aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 dipilih sebagai Gol Terbaik Kejohanan, umum FIFA semalam, lapor Xinhua.

Pasukan dari Afrika itu mengheret perlawanan ke masa tambahan selepas kedudukan terikat 1-1 tamat 90 minit permainan.

Lisandro Martinez kemudian meletakkan Argentina di hadapan sebelum Lopes Cabral menyamakan kedudukan pada minit ke-103.

Bek kiri Cape Verde yang menerima bola di sebelah kiri berjaya melepasi kawalan Alexis Mac Allister sebelum melepaskan rembatan lencong kaki kanan tepat ke penjuru atas gawang, menewaskan Emiliano Martinez.

“Ia benar-benar sukar dipercayai,” kata Lopes Cabral kepada FIFA.

“Ini satu penghormatan yang amat besar dan pengiktirafan yang diimpikan oleh setiap pemain. Saya amat berterima kasih kepada semua yang mengundi gol saya sebagai yang terbaik dalam kejohanan ini.”

Argentina akhirnya memenangi perlawanan dramatik itu menerusi tandukan Cristian Romero.

Gol pemain Uzbekistan Eldor Shomurodov dan pemain Haiti Wilson Isidor masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Lopes Cabral menyertai Maxi Rodriguez, Diego Forlan, James Rodriguez, Benjamin Pavard dan Richarlison sebagai pemenang anugerah itu sebelum ini. – Bernama