MARUDI: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marudi akan menganjurkan Karnival Kokurikulum dan Konsert Seni Budaya 2026 yang berlangsung di Dewan Suarah Marudi pada 8 Ogos 2026.
Menurut kenyataan ahli jawatankuasa penganjur SMK Marudi, Sukkion Goh, Karnival Kokurikulum yang diadakan pada sebelah pagi akan menampilkan pelbagai aktiviti, pameran dan jualan.
Katanya, semua pembelian sepanjang karnival itu menggunakan kupon yang boleh didapati di kaunter kupon yang disediakan.
Sementara itu, pada sebelah malam pula, Konsert Seni Budaya SMK Marudi 2026 akan berlangsung di Dewan Suarah Marudi.
Sukkion berkata, konsert berkenaan bukan sekadar persembahan hiburan, malah menjadi platform untuk mengumpul dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi menyokong pembangunan sekolah serta meningkatkan kemudahan pembelajaran.
Dalam pada itu, Pertandingan Ikon Busana Warisan SMK Marudi 2026 turut diadakan pada malam berkenaan dengan menampilkan peserta berbakat memperagakan busana warisan pelbagai kaum menerusi kreativiti, keanggunan dan semangat mempertahankan warisan budaya.
Katanya, pertandingan itu turut diserikan dengan kehadiran Ratu Kumang Gawai Negeri Sarawak 2026 sebagai juri jemputan.
Sehubungan itu, pihak sekolah menjemput semua ibu bapa pelajar SMK Marudi serta seluruh warga masyarakat Marudi untuk hadir memeriahkan Konsert Seni Budaya SMK Marudi 2026.
Tambahnya, sokongan dan kehadiran semua pihak amat bermakna dalam menjayakan program berkenaan selain memberi semangat kepada para pelajar yang akan membuat persembahan.
Oleh Jiku Juguong





