Serian rekod IPU tidak sihat, jerebu dijangka berterusan di Sarawak

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan. Foto Agensi

KUCHING: Kualiti udara di kawasan Serian merekodkan kadar Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 5.00 petang tadi.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), IPU di Serian mencatatkan bacaan 153.

Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kualiti udara ambien di Sarawak menunjukkan trend peningkatan bacaan IPU sejak 10 Julai lepas.

“Sebelas kawasan berada dalam kategori sederhana (IPU 51-100) iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Samalaju, Lundu, Tebedu dan Lubok Antu,” menurut kenyataan itu.

NREB Sarawak memaklumkan Malaysia kini berada dalam fasa Monsun Barat Daya yang bermula pada 14 Mei dan dijangka berakhir pada September sekali gus negara menerima tiupan angin secara konsisten dari arah barat daya.

“Keadaan ini berpotensi menyebabkan kemungkinan jerebu rentas sempadan dan kemerosotan kualiti udara ambien di Sarawak. Sarawak berkemungkinan akan berterusan mengalami jerebu pada beberapa hari akan datang, sekiranya pembakaran biojisim semakin meningkat di luar sempadan Sarawak,” menurut kenyataan itu. 

NREB memaklumkan pelbagai langkah telah diambil termasuk mengaktifkan bilik operasi jerebu, rondaan lapangan, membatalkan permit pembakaran terkawal yang telah dikeluarkan, memberhentikan pengeluaran permit pembakaran terkawal serta notis larangan pembakaran terbuka kepada semua pemaju projek.

“Orang ramai juga disarankan untuk mengambil beberapa langkah ketika menghadapi tempoh cuaca panas dan kering termasuk minum air dengan secukupnya dan mengurangkan aktiviti luar serta memakai topeng muka ketika melakukan aktiviti luar terutamanya golongan berisiko tinggi.

“Dalam pada itu, pihak NREB memberi peringatan kepada orang ramai untuk tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan berlakunya pencemaran udara terutamanya pada musim panas,” menurut kenyataan itu. – Bernama