LONDON: Pengadil perlawanan akhir Piala Dunia, Slavko Vincic bersara hanya seminggu selepas kejohanan itu melabuhkan tirainya, lapor PA Media/dpa.
Pegawai perlawanan dari Slovenia itu menerima kritikan meluas kerana membiarkan corak permainan fizikal Argentina sebelum mereka tewas 0-1 kepada Sepanyol pada masa tambahan.
Vincic melayangkan kad merah kepada pemain tengah Argentina dari kelab Chelsea, Enzo Fernandez pada masa kecederaan babak kedua.
Kenyataan daripada Persatuan Bola Sepak Slovenia menyebut: “Seminggu selepas perlawanan akhir Piala Dunia di AS, Slavko Vincic secara rasmi mengakhiri kerjaya pengadilannya yang bersejarah di kemuncak dunia.”
Vincic, 46, dinamakan sebagai pengadil terbaik Piala Dunia oleh Persekutuan Sejarah dan Statistik Bola Sepak Antarabangsa (IFFHS) dan Persatuan Pengadil Itali (AIA), yang menganugerahkan Anugerah Giulio Campanati dwitahunan kepada pegawai terbaik bagi setiap Piala Dunia atau Kejohanan Eropah.
Sebagai ahli kumpulan pengadil elit UEFA sejak 2019, Vincic pernah mengendalikan perlawanan di Euro 2020 serta menjadi pengadil separuh akhir 2024 antara Sepanyol dan Itali.
Beliau mengendalikan empat perlawanan pada Piala Dunia musim panas ini, termasuk perlawanan pembukaan Kumpulan C antara Brazil dan Maghribi, serta kemenangan 2-0 Mexico ke atas Ecuador pada pusingan 16 terakhir.
Pada perlawanan itu, beliau melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Ecuador, Piero Hincapie kerana menutup mulutnya ketika bercakap dengan pemain Mexico di bawah peraturan baharu yang diperkenalkan menjelang kejohanan berkenaan.
Di peringkat kelab, Vincic mengendalikan perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2024 apabila Real Madrid menewaskan Borussia Dortmund 2-0 untuk menjuarai kejohanan itu buat kali ke-15.
Beliau turut mengendali perlawanan akhir Liga Europa 2022 semasa Eintracht Frankfurt menewaskan Rangers, dan bertindak sebagai pegawai keempat pada tahun sebelumnya ketika Villarreal mengecewakan Manchester United.
Pada 2025, beliau dipilih mengendalikan perlawanan Super Lig Turkiye antara Galatasaray dan Fenerbahce bimbingan Jose Mourinho, sekali gus menjadi pegawai perlawanan luar negara pertama yang mengendalikan pertembungan itu susulan permintaan kedua-dua pasukan. – Bernama





