Bengkel Seni Resin perkasa bakat kreatif, buka peluang keusahawanan komuniti

Facebook
WhatsApp
PESERTA bersama tenaga pengajar dan pihak penganjur bergambar kenangan selepas tamat Bengkel Kreatif Seni Resin yang membuka peluang kepada komuniti meneroka bidang kraftangan moden. Foto Sisters Art & Craft

KUCHING: Bengkel Kreatif Seni Resin Pembangunan Kemahiran Kraftangan dan Keusahawanan Komuniti berjaya membuka ruang kepada masyarakat untuk meneroka bidang seni kreatif moden yang berpotensi dijadikan sumber pendapatan serta memperkasa industri kraftangan tempatan.

Program selama dua hari yang berlangsung di Dewan Sepakat Jaya, Demak Laut itu dianjurkan bersama Sisters Art & Craft dengan sokongan Majlis Kraftangan Sarawak serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP).

Seramai 36 peserta menyertai bengkel berkenaan yang memberi pendedahan kepada teknik asas penghasilan seni resin, selain mempelajari kaedah menghasilkan produk kreatif yang mempunyai nilai komersial.

Tenaga pengajar Seni Resin, Angela Anne berkata, beliau amat menghargai sokongan padu Majlis Kraftangan Sarawak dan MTCP yang membolehkan bengkel berkenaan dilaksanakan dengan jayanya.

PESERTA tekun mempelajari teknik asas penghasilan seni resin dalam bengkel yang bertujuan memperkasa kemahiran kreatif serta membuka peluang keusahawanan komuniti. Foto Sisters Art & Craft

Katanya, kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan penggiat industri kreatif memainkan peranan penting dalam memperluaskan peluang pembangunan kemahiran kepada komuniti.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Majlis Kraftangan Sarawak dengan sokongan MTCP atas kerjasama yang sangat bermakna bersama Sisters Art & Craft dalam menjayakan bengkel ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Angela berkata, komitmen tinggi serta penyertaan aktif para peserta sepanjang program berlangsung menjadi pemangkin utama kejayaan bengkel berkenaan.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana berpeluang berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bidang seni resin kepada masyarakat yang berminat menceburi bidang tersebut.

Menurutnya, setiap sesi bersama peserta memberikan pengalaman berharga selain membuktikan minat masyarakat terhadap seni kreatif semakin berkembang.

SUASANA Bengkel Kreatif Seni Resin Pembangunan Kemahiran Kraftangan dan Keusahawanan Komuniti yang berlangsung di Dewan Sepakat Jaya, Demak Laut, Kuching dengan penyertaan 36 peserta. Foto Sisters Art & Craft

Beliau berkata, bengkel sama akan diperluaskan ke beberapa lokasi lain termasuk Sri Aman, Selangau, Bintulu dan Niah bagi memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat mempelajari kemahiran seni resin.

“Seni resin bukan sekadar aktiviti hobi, malah mampu dikembangkan sebagai perusahaan kecil yang menjana pendapatan, khususnya kepada suri rumah dan individu yang ingin memulakan perniagaan dari rumah.

“Saya berharap ilmu dan kemahiran yang diperoleh peserta dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi melahirkan lebih ramai usahawan kreatif, khususnya wanita yang mahu membina perniagaan sendiri tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga,” katanya lagi.

Angela turut berharap kerjasama erat antara penggiat kraftangan, agensi berkaitan dan komuniti dapat diteruskan bagi memperkukuh ekosistem kraftangan Sarawak menerusi pembangunan bakat, pemindahan ilmu dan penciptaan lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat.

Oleh Adi Safarman