Korea Selatan bakal lancarkan festival muzik global berskala besar tahun depan

Facebook
WhatsApp
KETUA Pegawai Eksekutif dan Ketua Penerbit JYP Entertainment, Park Jin-young, berucap pada sidang media Jawatankuasa Pertukaran Budaya Awam berhubung pengumuman Pelan Promosi Fenomena 2027 di Muzium Seni Moden dan Kontemporari Nasional Seoul, Daerah Jongno, Seoul, pada 27 Julai. Foto Agensi

SEOUL: Korea Selatan bakal menganjurkan festival muzik global berskala besar di Seoul pada Disember 2027, dengan harapan acara itu mampu menyaingi Festival Muzik dan Seni Coachella Valley yang terkenal di Amerika Syarikat, lapor Agensi Berita Yonhap.

Satu jawatankuasa gabungan orang awam dan kerajaan mengenai budaya pop mengumumkan rancangan berkenaan semasa taklimat media di bandar raya itu pada Isnin, dengan matlamat untuk merancakkan sektor pelancongan serta memperluas jangkauan global industri budaya Korea Selatan.

Festival ‘Fanomenon’ ini akan berlangsung dari 2 hingga 12 Disember di Seoul Arena — dewan konsert K-pop berkapasiti 28,000 tempat duduk yang dijadualkan dibuka pada Mei 2027 di kawasan Chang-dong serta di pusat konvensyen KINTEX di Goyang, yang terletak di barat laut ibu negara itu.

Festival tahunan ini akan menampilkan konsert berskala besar oleh artis terkemuka tempatan dan antarabangsa, majlis anugerah yang memberi tumpuan kepada komuniti peminat serta pameran oleh syarikat yang berkaitan dengan budaya Korea.

Jawatankuasa Presiden mengenai Pertukaran Budaya Popular menyatakan bahawa inisiatif ini bertujuan mewujudkan acara budaya global yang melambangkan Korea Selatan dengan memanfaatkan sumber syarikat berkaitan budaya Korea serta memperluas pengaruh jenama berkenaan bagi memacu sektor pelancongan, kandungan dan industri berkaitan.

Menurut jawatankuasa itu, nama ‘Fanomenon’ menggabungkan perkataan ‘fan’ (peminat) dan ‘phenomenon’ (fenomena), bagi menonjolkan peranan peminat sebagai penggerak aktif dalam pengembangan budaya Korea di peringkat global.

Acara permulaan dijadualkan berlangsung pada 2 Disember, diikuti dengan program utama dari 3 hingga 12 Disember. Konsert akan diadakan di Seoul Arena, menampilkan persembahan oleh artis utama tempatan dan antarabangsa sepanjang tempoh dua minggu.

Festival ini juga akan menganjurkan majlis anugerah khusus untuk komuniti peminat yang paling berpengaruh pada tahun itu iaitu artis atau jenama akan menerima penghormatan itu bagi pihak mereka.

“Fanomenon merupakan satu usaha baharu untuk mewujudkan platform budaya Korea (K-culture) berskala besar yang membolehkan peminat dari seluruh dunia mengambil bahagian dan berinteraksi secara langsung,” kata Chae.

“Kami akan berusaha menjadikannya satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi pengunjung global serta peluang pertumbuhan baharu untuk sektor kandungan, pelancongan dan industri berkaitan.

“Park menyatakan bahawa kekuatan budaya Korea bukan sahaja terletak pada para artis dan kandungan, malah pada komuniti peminat yang membantu memupuk serta mengembangkannya.

“Kami akan membina model yang berjaya, yang menggabungkan kreativiti sektor swasta dengan sokongan kerajaan secara organik, sekali gus membolehkan Korea Selatan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab global bagi industri fandom.

– Bernama