Maritim tahan vesel nelayan Indonesia ceroboh perairan Sarawak

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA Maritim memeriksa sebuah vesel nelayan asing dari Indonesia yang ditahan pada kedudukan 101 batu nautika barat laut Tanjung Sirik kerana disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Sarawak. Foto Maritim Malaysia

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak menahan sebuah vesel nelayan asing (VNA) dari Indonesia yang disyaki menceroboh perairan Sarawak bagi menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram dalam operasi penguatkuasaan pada 23 Julai lalu.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, penahanan dilakukan kira-kira 11.35 pagi pada kedudukan 101 batu nautika barat laut Tanjung Sirik ketika aset Maritim melaksanakan Op PERMAI 01/2019, Op NAGA dan Op TIRIS 4.0.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh empat kru warga Indonesia termasuk seorang nakhoda.

“Siasatan awal mendapati vesel terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan di Perairan Perikanan Malaysia tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, vesel bersama empat kru terbabit telah ditahan dan diiring ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Kuching sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim untuk siasatan serta tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.

 EMPAT kru warga Indonesia termasuk seorang nakhoda ditahan selepas sebuah vesel nelayan asing dari Indonesia disyaki menceroboh perairan Sarawak dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram dalam operasi Maritim Malaysia pada 23 Julai lalu. Foto Maritim Malaysia

Mohd Khairi berkata, Maritim Negeri Sarawak akan terus mempergiat operasi rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan vesel asing, aktiviti perikanan haram serta sebarang pelanggaran undang-undang maritim.

Beliau turut menggesa orang ramai, khususnya komuniti maritim, agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 untuk tindakan segera.