Regata Baram terus semarak semangat perpaduan rakyat

Facebook
WhatsApp
SIMBOLIK…Datuk Gerawat Gala menyempurnakan majlis penangguhan Regata Baram 2026. Foto Jiku Juguong

MARUDI: Dianggarkan lebih 1,000 pengunjung dari seluruh Baram membanjiri Dataran Marudi bagi memeriahkan Konsert Perpaduan sempena Regata Baram 2026 yang berlangsung malam tadi.

Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, sambutan menggalakkan itu mencerminkan semangat perpaduan yang menjadi warisan masyarakat Baram sejak penganjuran Regata Baram yang pertama pada 1899.

PENGHARGAAN…Pegawai Daerah Beluru, Charles Aloysius Lisu menyampaikan cenderamata kepada Datuk Gerawat Gala. Foto Jiku Juguong

“Inilah semangat perpaduan dan warisan kita yang terjalin sejak Regata Baram pertama dianjurkan pada 1899, dan kita mahu terus mengekalkan semangat perpaduan rakyat Baram ini,” katanya ketika berucap pada majlis penangguhan Regata Baram 2026 di Dataran Marudi.

Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan Regata Baram 2026.

Beliau berkata, selaras dengan tema “Kesejahteraan, Perpaduan dan Kemajuan”, penglibatan masyarakat dalam pelbagai acara yang dipertandingkan membuktikan semangat perpaduan yang kukuh dalam kalangan penduduk Baram.

“Kita sentiasa mengutamakan kemakmuran masyarakat kerana ia menjadi asas kepada kemajuan, kejayaan dan masa depan kita bersama,” katanya.

Menurut beliau, Regata Baram bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum, budaya dan kepercayaan, malah berjaya mencungkil bakat yang berpotensi mengharumkan nama negeri dan negara.

“Melalui regata ini, kita berjaya melahirkan juara dalam pelbagai kategori seperti Piala Premier, Bintang Baram, Piala Perpaduan Baram dan Raja Regata Baram,” katanya.

Beliau berkata, dalam setiap pertandingan yang dianjurkan, semangat berpasukan dan perpaduan sentiasa menjadi keutamaan bagi menyatukan masyarakat Baram.

Sehubungan itu, beliau berharap Regata Baram 2028 akan menampilkan lebih banyak acara menarik dan berskala lebih besar bagi terus memperkukuh perpaduan serta menarik lebih ramai pengunjung.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Regata Baram 2026, Datuk Dr Penguang Manggil bersama isteri, Datin Monica Ukong Jaya; isteri Gerawat, Datin Esther Balan; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dominic Nyurang bersama isteri; Pegawai Daerah Marudi, Rose Edward Tarang; Pegawai Daerah Beluru, Charles Aloysius Lisu; serta Pengerusi Majlis Daerah Marudi, Kaunselor Edward Tarang.

Oleh Jiku Juguong