KUCHING: Sarawak kini bergerak ke fasa baharu pembangunan digital dengan memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI), teknologi satelit dan aeroangkasa, selain menekankan keperluan meningkatkan kualiti serta kebolehpercayaan perkhidmatan internet.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Haji Julaihi Narawi berkata, selepas melabur RM2.3 bilion menerusi inisiatif Saluran untuk memperluas capaian internet, kerajaan negeri kini mahu memastikan manfaat kesalinghubungan benar-benar dirasai rakyat.
Menurutnya, usaha itu turut melibatkan pembangunan 618 Menara SMART dan pelaksanaan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar MySRBN, yang telah membantu meningkatkan liputan internet di kawasan penempatan kepada 94.5 peratus.
“Kesalinghubungan bukan lagi destinasi akhir. Ia adalah platform yang membolehkan AI berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kelas Induk 2026 mengenai Dasar dan Peraturan Telekomunikasi Bersepadu (CTPR), di sini, hari ini.
Julaihi berkata, tumpuan Sarawak selepas ini bukan sekadar memperluas rangkaian, tetapi memastikan perkhidmatan digital lebih berkualiti, stabil dan mampu milik agar memberi impak terus kepada pendidikan, kesihatan, perniagaan dan perkhidmatan awam.
Beliau berkata, Sarawak juga sedang meneroka keupayaan dalam komunikasi satelit, pemerhatian Bumi, penderiaan jauh dan aplikasi geospatial yang boleh dimanfaatkan untuk pengurusan bencana, pemantauan alam sekitar, pertanian, perancangan tanah dan sumber serta penyampaian perkhidmatan awam.
Katanya, perkembangan itu membuka ruang baharu kepada Sarawak untuk memperkukuh daya tahan digital dan memperluas penggunaan teknologi dalam sektor strategik negeri.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa pembangunan digital memerlukan dasar yang berpandangan jauh, peraturan yang jelas dan tadbir urus yang bertanggungjawab supaya inovasi dapat berkembang dengan keyakinan awam.
Julaihi turut menggesa kerjasama lebih rapat antara kerajaan, pengawal selia, industri, universiti dan institusi penyelidikan bagi membangunkan penyelesaian AI untuk sektor utiliti, memperluas infrastruktur digital serta meneroka bidang bandar pintar, keselamatan siber dan industri digital baharu.
“Tanpa kepercayaan, inovasi tidak dapat berkembang pada skala besar,” katanya sambil menambah bahawa masa depan teknologi perlu dibina atas keyakinan masyarakat dan manfaat yang jelas kepada rakyat.
Oleh Adele Rissa





