LINGGA: Operasi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah di Lingga, Sri Aman diteruskan memasuki hari kedua selepas api yang memusnahkan kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar belum berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.02 malam tadi.
Sebaik tiba di lokasi, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman mendapati kebakaran melibatkan kawasan tapak pelupusan sampah dengan anggaran keluasan 1.2 hektar.
Komander Operasi, PB Gabriel Yahya, memaklumkan pasukan bomba telah membentangkan satu aliran hos sepanjang 300 kaki menggunakan dua nozel serta sebuah pam angkut yang mendapatkan bekalan air daripada parit berhampiran bagi menjalankan kerja pemadaman.
Kebakaran berjaya dikawal pada 7.42 pagi tadi, namun api masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya berikutan kawasan yang terbakar agak luas selain masih terdapat kepulan asap di beberapa bahagian tapak pelupusan.
Sehingga kini, kira-kira 0.8 hektar kawasan berjaya dipadamkan, manakala baki seluas 0.4 hektar masih lagi terbakar dan memerlukan tindakan susulan.
Operasi turut berdepan beberapa cabaran termasuk keadaan jalan utama menuju ke Lingga yang masih dalam pembinaan, liputan komunikasi yang kurang memuaskan serta sumber air terbuka yang terhad di lokasi kejadian.
Operasi hari pertama ditamatkan selepas jentera bertolak balik ke balai pada 7.45 pagi.
Pasukan Alpha kemudian menyambung operasi pemadaman bagi memastikan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya serta mengelakkan api terus merebak.
Operasi hari kedua kini diteruskan dengan tujuh anggota BBP Sri Aman menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Turut membantu operasi di lokasi ialah Majlis Daerah Lingga dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kelancaran operasi serta keselamatan kawasan sekitar.
Setakat ini, tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan, manakala operasi pemadaman masih diteruskan sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Oleh Adi Safarman





