SARIKEI: Sukan wushu bukan sekadar melahirkan atlet berprestasi, malah menjadi medium penting dalam membentuk sahsiah, keyakinan diri, disiplin dan semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, setiap kejohanan memberi peluang kepada peserta menimba pengalaman, mengasah bakat dan menghayati nilai murni yang akan menjadi bekalan sepanjang kehidupan.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua atlet muda yang telah bertanding sepanjang kejohanan ini atas usaha dan komitmen yang ditunjukkan sehingga ke saat penutup.
“Sama ada mewakili sekolah di bandar mahupun luar bandar, setiap daripada anda telah membuktikan bahawa kejayaan lahir daripada disiplin dan semangat yang tidak mudah luntur,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kejohanan Wushu Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah Zon Tengah Sarawak 2026 di Dewan Suarah Sarikei, baru-baru ini.
Katanya, atlet yang berjaya meraih pingat wajar berbangga dengan pencapaian mereka, namun setiap peserta perlu melihat pertandingan sebagai peluang untuk belajar dan memperbaiki diri
“Menang atau kalah bukanlah ukuran sebenar. Sebaliknya, pengalaman, persahabatan dan nilai murni yang dibina sepanjang kejohanan akan menjadi kenangan bermakna dalam perjalanan hidup anda.
“Sebagai Ahli Parlimen Sarikei, kesihatan dan pembangunan menyeluruh generasi muda sentiasa menjadi keutamaan saya,” katanya.
Tambahnya, wushu merupakan seni mempertahankan diri yang bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, malah membawa falsafah dan nilai budaya yang diwarisi turun-temurun.
“Sepanjang kejohanan ini, saya yakin setiap peserta telah belajar erti kesabaran, fokus dan kawalan diri. Di atas gelanggang, mereka bukan sahaja melatih jasmani dan rohani secara seimbang, malah membina keyakinan diri serta memupuk rasa hormat terhadap guru dan rakan seperjuangan.
“Nilai kesukanan dan kebudayaan inilah yang amat berharga dan perlu terus dipupuk dalam jiwa generasi muda kita.
“Saya ingin menggalakkan lebih banyak sekolah di Zon Tengah Sarawak untuk terus memperkasakan sukan wushu sebagai salah satu aktiviti kokurikulum yang digemari, supaya anak-anak di sini dapat terus belajar dan mencintai seni ini sejak usia muda,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan sukan di negeri ini, khususnya di peringkat sekolah, bagi memastikan setiap anak Sarawak menikmati kemudahan sukan yang berkualiti.
Tiong Sii juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada Kelab Wushu Jelutong bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan persatuan tersebut.
Oleh Earl Anek





