KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat semula untuk dibuka tinggi pada Isnin berikutan ketegangan di Asia Barat yang mereda telah meningkatkan sentimen pasaran selepas Amerika Syarikat (AS) menghentikan sementara serangan udara pada hujung minggu lepas.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.05 mata kepada 1,703.07 daripada 1,701.02 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 2.63 mata kepada 1,703.65.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 184 berbanding 148 manakala 262 kaunter tidak berubah, 2,179 tidak diniagakan dan 53 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 105.06 juta saham bernilai RM54.08 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini, kebimbangan geopolitik yang berkurangan, harga tenaga yang rendah serta tumpuan pelabur yang kembali kepada pengumuman keputusan pendapatan syarikat teknologi gergasi dan keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS dijangka mendorong peningkatan semula yang sederhana selepas aktiviti jualan minggu lepas.
Firma itu turut menjangka minat pelabur institusi terhadap saham perladangan akan meningkat, disokong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang kekal melebihi RM4,500 satu tan dan bekalan yang terhad berikutan fenomena El Niño.
Menurutnya, berita mengenai kembalinya Formula 1 ke Malaysia pada Oktober ini bakal memacu aliran masuk pelancong dan meningkatkan pendapatan syarikat dalam sektor pengguna, dengan penginapan dilaporkan telah habis ditempah pada kadar harga yang tinggi sehingga tiga kali ganda.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing menambah empat sen kepada RM10.82 dan RM5.15, CIMB meningkat enam sen kepada RM7.74 manakala IHH Healthcare mendatar pada RM8.30 dan Tenaga Nasional menurun empat sen kepada RM14.32.
Bagi saham aktif, Capital A naik setengah sen kepada 37.5 sen, AIMAX mendatar pada satu sen manakala Tanco Holdings dan HHRG, masing-masing menurun 1.5 sen kepada 2.45 sen dan 1.35 sen serta Velesto Energy merosot satu sen kepada 2.5 sen.
Kaunter paling untung ialah Nestle meningkat 36 sen kepada RM90.98, KLCC Property & REITS dan Sarawak Plantation, masing-masing naik 12 sen kepada RM8.90 dan RM4.50, Petronas Gas menambah 10 sen kepada RM17.50 dan MHC Plantation menokok lapan sen kepada RM1.95.
Kaunter paling rugi ialah Dutch Lady Milk Industries menurun 38 sen kepada RM31.62, Petronas Chemicals berkurangan 23 sen kepada RM4.69, Chin Teck Plantations merosot 14 sen kepada RM11.20, Hong Leong Industries menyusut 10 sen kepada RM17.72 dan Petronas Dagangan menurun lapan sen kepada RM19.24.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 16.26 mata kepada 12,605.80, Indeks FBMT Top 100 naik 17.30 mata kepada 12,429.26 dan Indeks FBM Mid 70 menambah 35.03 mata kepada 17,925.87.
Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 8.67 mata kepada 12,435.58 dan Indeks FBM ACE menurun 1.71 mata kepada 4,925.16.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 75.64 mata kepada 20,132.75 manakala Indeks Tenaga menurun 5.68 mata kepada 768.15, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 1.19 mata kepada 186.67 dan Indeks Perladangan merosot 1.96 mata kepada 9,299.02.- Bernama





