GEMAPUTERA XVIII perkukuh kerjasama PKEN seluruh negara

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Sukan GEMAPUTERA XVIII Sarawak 2026 membuka tirainya secara rasmi malam ini dengan menghimpunkan 14 Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dari seluruh Malaysia dalam usaha memperkukuh semangat kesukanan, jaringan kerjasama serta hubungan strategik antara agensi pembangunan ekonomi negeri.

Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Rakayah Hamdan berkata, temasya dua tahun sekali itu menjadi wadah penyatuan yang mengeratkan kerjasama antara PKEN di seluruh Malaysia.

Katanya, penganjuran kali ini diteruskan oleh SEDC selepas edisi terdahulu dianjurkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sekali gus membuktikan kesinambungan hubungan erat yang telah lama terjalin antara organisasi terbabit.

“Sukan bukan sekadar menentukan juara, tetapi menjadi platform membentuk sahsiah, memperkukuh hubungan sesama insan serta memupuk nilai disiplin, integriti, ketahanan mental dan semangat kerja berpasukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Sukan GEMAPUTERA XVIII Sarawak 2026, malam ini.

RAKAYAH berucap pada Majlis Pembukaan Sukan GEMAPUTERA XVIII Sarawak 2026, malam ini.

Beliau berkata, dalam dunia yang semakin mencabar, kekuatan sesebuah organisasi bergantung kepada kualiti modal insan yang mampu bekerja secara berpasukan, berdaya tahan dan berintegriti.

Menurutnya, tema “Agi Idup, Agi Ngelaban” dipilih sebagai slogan temasya kali ini kerana melambangkan semangat untuk terus berjuang, berusaha dan tidak mudah mengalah dalam menghadapi setiap cabaran.

Rakayah berkata, sebanyak lapan acara dipertandingkan pada edisi kali ini iaitu badminton, futsal, pickleball, bola jaring, karom, e-sukan, golf dan boling, dengan dua acara baharu, e-sukan dan pickleball, diperkenalkan buat julung kalinya.

Temasya ini berlangsung dari 26 Julai hingga 1 Ogos di beberapa venue sekitar Kuching dan Kota Samarahan yang akan menghimpunkan kontinjen daripada 14 PKEN seluruh Malaysia, sekali gus memerlukan kerjasama serta koordinasi semua pihak bagi memastikan kelancaran penganjurannya.

SUASANA sekitar Majlis Pembukaan Sukan GEMAPUTERA XVIII Sarawak 2026, malam ini.

Rakayah turut berharap para peserta mengambil peluang menikmati keunikan budaya, kepelbagaian masyarakat dan keindahan alam semula jadi Sarawak sepanjang temasya berlangsung, selain membawa pulang semangat persahabatan yang lebih erat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik, penaja, jawatankuasa penganjur, pegawai pertandingan dan warga kerja yang menjayakan Sukan GEMAPUTERA XVIII Sarawak 2026.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau menyeru semua atlet supaya bertanding dengan penuh semangat kesukanan, menjunjung nilai integriti dan hormat-menghormati, sambil menegaskan bahawa kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui pingat yang dimenangi, tetapi juga nilai dan pengalaman yang diperoleh sepanjang temasya.

Oleh Shikin Mahmud