BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Oktober: Kad merah yang diterima P. Shitembi menjadi titik perubahan apabila Kuching City FC tewas 2-3 kepada DPMM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, malam ini.
The Cats yang mendahului 2-1 pada awal babak kedua gagal mempertahankan kelebihan selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain. DPMM FC kemudian memanfaatkan kelebihan itu untuk menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit, sekali gus memastikan kemenangan di laman sendiri.
DPMM FC membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi Dalberto sebelum penyerang Kuching City, Dylan Wenzel-Halls, menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat babak pertama sebelum Kuching City memulakan separuh masa kedua dengan lebih agresif.
Wenzel-Halls sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-50 untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan 2-1.
Bagaimanapun, nasib Kuching City berubah apabila Shitembi dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-62, sekali gus menyebabkan pasukan itu terpaksa meneruskan perlawanan dengan kekurangan seorang pemain.
DPMM FC pantas mengambil kesempatan apabila A. Ali Rahman menyamakan kedudukan pada minit ke-64 sebelum Dalberto menjaringkan gol keduanya tiga minit kemudian untuk meletakkan tuan rumah di hadapan 3-2.
Kuching City cuba memburu gol penyamaan menerusi beberapa pertukaran pemain, termasuk memasukkan K. Yamazaki, R. Saifullah dan M. Safawi. Bagaimanapun, usaha itu gagal mengubah kedudukan sehingga wisel penamat dibunyikan.
Dari segi statistik, Kuching City mencatatkan penguasaan bola lebih tinggi berbanding DPMM FC serta menghasilkan 13 percubaan, dengan lima tepat ke sasaran. DPMM FC pula melakukan tujuh percubaan, empat daripadanya tepat ke sasaran.
The Cats turut memperoleh enam sepakan penjuru berbanding empat bagi DPMM FC, namun statistik itu tidak cukup untuk menyelamatkan mereka daripada kekalahan.
Keputusan itu menyaksikan Kuching City kekal di tangga ketiga carta Liga Super dengan 12 mata daripada enam perlawanan, di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor yang masing-masing mengumpul 15 mata. DPMM FC pula berada di tangga keempat dengan sembilan mata.
Oleh Afiq Sallehi




