Spesies nama Abang Johari antara 550 pokok hutan asli ditanam di hutan Sabal

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIMUNJAN: Seramai 80 pegawai dan kakitangan Unit Audit Dalam, Jabatan Premier Sarawak menyertai program penanaman pokok di Hutan Simpan Sabal di sini hari ini sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam menyokong usaha Kempen Menghijaukan Sarawak.

Program anjuran Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dengan kerjasama Kelab Kebajikan Kakitangan Audit Dalam itu menyaksikan sebanyak 550 anak benih pokok asli bernilai tinggi ditanam bagi membantu pemulihan kawasan hutan terosot di Hutan Simpan Sabal.

Antara spesies yang ditanam ialah 100 anak pokok Resak Abang Johari (Vatica abang-joharii), iaitu spesies dipterokarpa asli Sarawak yang dinamakan sempena Premier Sarawak, yang mencerminkan komitmen berterusan negeri ini dalam memelihara biodiversiti hutan tempatan.

Selain itu, spesies lain turut ditanam termasuk Meranti Pitis (Shorea ovata), Meranti Putih (Shorea cordata) dan Meranti Tembaga (Shorea leprosula).

SEBAHAGIAN peserta menjalankan aktiviti penanaman anak pokok asli di kawasan pemulihan hutan di Hutan Simpan Sabal.

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Pemulihan Landskap Hutan (Forest Landscape Restoration – FLR) Jabatan Hutan Sarawak yang memberi fokus kepada pemulihan kawasan hutan terosot melalui penanaman spesies pokok asli, selain memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, organisasi korporat serta komuniti setempat.

Menurut kenyataan media Jabatan Hutan Sarawak, Rohanie Bohan berkata, pihaknya menghargai komitmen Unit Audit Dalam, Jabatan Premier Sarawak yang memilih pemulihan hutan sebagai inisiatif CSR, sekali gus menyokong usaha pemuliharaan dan pengurusan sumber hutan secara mampan.

Beliau berkata, kerjasama sedemikian memainkan peranan penting dalam memastikan kelestarian hutan Sarawak terus dipelihara untuk manfaat generasi akan datang.

Oleh Afiq Sallehi