Rumah panjang Serudit B bukti kejayaan pembangunan luar bandar Sarawak – Uggah

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SPAOH: Rumah Panjang Reselie Ujih Gendup di Serudit B yang genap berusia 20 tahun menjadi bukti kejayaan dasar pembangunan kerajaan Sarawak dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar menerusi penyediaan pelbagai kemudahan asas dan infrastruktur.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perubahan yang dinikmati penduduk rumah panjang itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan yang inklusif dapat dinikmati sehingga ke kawasan pedalaman.

Beliau berkata, keadaan Rumah Panjang Reselie Ujih Gendup yang jauh lebih baik berbanding dua dekad lalu membuktikan hasil pelaksanaan pelbagai projek pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.

“Kalau dibandingkan dengan dahulu, kita dapat melihat perubahan yang amat ketara. Rumah panjang ini menjadi bukti bahawa pembangunan yang dilaksanakan kerajaan telah membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada penduduk di Serudit B,” katanya.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Merarau anjuran Biro Wanita dan JKKK Rumah Panjang Reselie Ujih Gendup di Serudit B, semalam. Foto: Douglas Uggah Embas Official.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Merarau anjuran Biro Wanita dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Reselie Ujih Gendup di Serudit B, di sini, semalam.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, kejayaan membangunkan rumah panjang berkenaan membuktikan dasar dan perancangan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat tanpa mengira lokasi.

Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk Serudit B serta seluruh masyarakat di Bukit Saban agar terus memberikan sokongan kepada kerajaan GPS bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan demi manfaat generasi akan datang.

Menurut beliau, hasil usaha kerajaan dapat dilihat melalui pembinaan rumah yang lebih selesa, kukuh dan berkualiti, termasuk Rumah Panjang Reselie Ujih Gendup yang mempunyai 43 pintu dan kini menjadi kediaman kira-kira 248 penduduk.

Dalam pada itu, Uggah turut mengingatkan ibu bapa supaya terus memberi keutamaan kepada pendidikan anak-anak dan memanfaatkan pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan bagi melahirkan generasi berilmu serta berdaya saing.

Sementara itu, Tuai Rumah Reselie Ujih Gendup berkata, sepanjang 20 tahun penubuhan rumah panjang tersebut, penduduk telah menikmati pelbagai manfaat hasil pelaksanaan projek pembangunan kerajaan yang memberi impak positif kepada kehidupan mereka.

Beliau berkata, penyediaan jalan raya, jalan ladang, bekalan utiliti serta pelbagai kemudahan asas bukan sahaja memudahkan urusan harian penduduk, malah meningkatkan produktiviti sektor pertanian serta memperkukuh taraf sosioekonomi komuniti.

“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Datuk Amar Douglas Uggah atas segala pembangunan yang telah dibawa ke Serudit B. 

“Kemudahan seperti jalan raya, jalan ladang serta pelbagai infrastruktur lain telah banyak membantu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi penduduk,” katanya.

Untuk rekod, Rumah Panjang Reselie Ujih Gendup telah ditubuhkan pada tahun 2004 dan sepanjang dua dekad lalu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas termasuk bekalan air bersih, elektrik, jalan raya dan jalan ladang menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan kerajaan Sarawak.

Pada majlis sama, Uggah turut mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada Biro Wanita Serudit B serta bantuan RM5,000 bagi setiap pintu rumah untuk kerja-kerja baik pulih bumbung rumah panjang. 

Turut hadir, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong Sabai, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abu Nawas, Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Spaoh Denny Lim, Ketua Wanita PBB Bukit Saban Natasha Nasa Uggah serta sekitar1,000 tetamu.

Oleh Adi Safarman