RM615,000 disalurkan kepada 87 JKKK dan tujuh PIBG di Parlimen Sri Aman

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIMANGGANG: Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie menegaskan bahawa setiap peruntukan yang disalurkan kerajaan merupakan satu amanah yang perlu diurus secara berhemah, telus dan bertanggungjawab demi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyerahan 94 buah cek kepada 87 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta tujuh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di bawah dana peruntukan khas dan geran pemberian langsung berjumlah RM615,000.

Menurut beliau, setiap dana yang diberikan bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai program pembangunan yang memberi impak positif kepada komuniti setempat.

“Setiap peruntukan ini adalah amanah. Ia perlu diurus secara berhemah, telus dan penuh rasa tanggungjawab agar manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya dalam ucapan pada majlis berkenaan, dekat sini semalam.

Beliau berharap semua penerima memanfaatkan dana tersebut sebaik mungkin bagi melaksanakan program dan aktiviti yang mampu memperkukuh perpaduan masyarakat, memperkasa pendidikan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti di kawasan masing-masing.

DATO’ Sri Doris Sophia Brodie semasa hadir pada majlis penyerahan cek kepada JKKK serta PIBG di bawah dana peruntukan khas dan geran pemberian langsung di salah sebuah hotel di Sri Aman, hari ini. Foto Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Aman

Tambah Doris, peranan JKKK dan PIBG amat penting sebagai rakan strategik kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan serta menggerakkan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat setempat merupakan faktor utama dalam memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan dan inklusif.

Pada masa sama, Doris merakamkan penghargaan kepada semua JKKK dan PIBG atas komitmen serta kerjasama berterusan dalam memperkasakan pembangunan masyarakat di peringkat akar umbi.

Beliau berharap semangat kerjasama itu akan terus diperkukuhkan agar setiap peruntukan yang disalurkan dapat diterjemahkan kepada program berkualiti dan berimpak tinggi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan mampan serta kesejahteraan rakyat di Parlimen Sri Aman.

Oleh Adi Safarman