SARIKEI: Respons pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei berjaya menghalang kebakaran membabitkan longgokan sampah di Jalan Simpang Sare daripada merebak ke kawasan berhampiran.
Ketua BBP Sarikei, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran kira-kira 11.17 malam, baru-baru ini.

Katanya, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Hilary Pitre Ambit bersama tujuh anggota bomba bermula pada 11.28 malam.
“Setibanya di lokasi, didapati terdapat kebakaran melibatkan longgokan sampah berdekatan tong sampah.
“Komander operasi segera membuat penilaian awal bagi mengenal pasti keadaan kebakaran sebelum tindakan pemadaman dijalankan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pasukan bomba menggunakan hos salur bantu mula dengan sumber air daripada pili bomba.
“Kebakaran berjaya dikawal oleh pasukan bomba pada 11.50 malam.
“Operasi di lokasi ditamatkan pada 12.07 tengah malam selepas pemeriksaan menyeluruh mendapati tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.
Oleh Earl Anek




