Biro Wanita Rumah Tira Brundang digesa terus aktif perkasa komuniti

Facebook
WhatsApp
DATO Mohd Chee Kadir menyampaikan cek sumbangan kepada Biro Wanita Rumah Tira Brundang, hari ini. Foto ADUN Kabong

KABONG: Biro Wanita Rumah Tira Brundang digesa terus aktif menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada penduduk, khususnya dalam memperkukuh hubungan silaturahim dan penglibatan komuniti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, penglibatan aktif biro berkenaan penting bagi memastikan pelbagai aktiviti yang dilaksanakan terus memberi impak positif kepada penduduk rumah panjang.

Beliau turut berharap sumbangan yang diterima dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi melaksanakan program-program yang memberi manfaat kepada komuniti Rumah Tira Brundang.

“Diharapkan Biro Wanita Rumah Tira Brundang terus aktif menganjurkan program yang memberi manfaat kepada penduduk serta mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sesi Randau bersama warga Rumah Tira Brundang, yang membabitkan 24 pintu dengan kira-kira 176 penduduk di sini, hari ini.

Sesi berkenaan turut menjadi platform untuk Chee Kadir berinteraksi secara langsung dengan penduduk, selain mendengar pandangan, menyantuni masyarakat dan memahami keperluan komuniti rumah panjang berkenaan.

DATO Mohd Chee Kadir ketika menghadiri Sesi Randau bersama warga Rumah Tira Brundang, hari ini. Foto ADUN Kabong

Pada kesempatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada Biro Wanita Rumah Tira Brundang bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti dan program kemasyarakatan.

Dalam sesi randau tersebut, turut dibincangkan aspek pembangunan dan kemudahan infrastruktur menerusi projek Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.

Antaranya termasuk projek menaik taraf jalan simen di Rumah Nangkai Janggat, Panjang Atas, Roban yang membabitkan peruntukan sebanyak RM350,000, selain pemasangan lampu solar di rumah-rumah panjang di kawasan DUN Kabong.

Inisiatif berkenaan dilihat penting dalam meningkatkan kemudahan asas, keselesaan serta kesejahteraan penduduk, khususnya komuniti rumah panjang di kawasan luar bandar.

Chee Kadir turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga Rumah Panjang Tira Brundang atas sambutan serta kehadiran dalam sesi randau berkenaan.

Turut hadir, Datin Meryani Yassin, Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong; Tuai Rumah Tira Brundang; Pengerusi Biro Wanita Rumah Tira Brundang serta ahli-ahli Biro Wanita Rumah Tira Brundang.

Oleh Adi Safarman