Michael Kong gesa suri rumah daftar SKSSR, ketengahkan beban kos dialisis

Facebook
WhatsApp
MDM Foo berkongsi dengan Michael Kong Feng Nian mengenai kos rawatan dialisis yang perlu ditanggungnya.

KUCHING: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian menggesa golongan suri rumah dan ibu yang tidak bekerja supaya mendaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) Perkeso sebagai langkah mendapatkan perlindungan sosial.

Pada masa sama, beliau mengetengahkan beban kewangan yang masih ditanggung pesakit dialisis dan keluarga meskipun menerima bantuan bagi rawatan berkenaan.

Kong berkata, beliau baru-baru ini bertemu seorang pesakit dialisis, Mdm Foo, yang masih perlu menanggung sebahagian kos rawatan walaupun layak menerima bantuan kewangan menerusi SKSSR.

“Beliau merupakan pencarum berdaftar SKSSR dan layak menerima bantuan kewangan daripada Perkeso bagi rawatan dialisis.

“Namun, beliau masih perlu membayar RM75 bagi setiap sesi, iaitu kira-kira RM900 sebulan, tidak termasuk kos tambahan seperti picagari dan bahan guna habis lain,” katanya.

Menurut Kong, keadaan tersebut menggambarkan beban kewangan yang perlu ditanggung pesakit dialisis dan keluarga, khususnya bagi rawatan yang perlu dilakukan secara berterusan

Beliau berkata, DAP turut menyalurkan sumbangan kewangan kepada Puan Foo bagi membantu meringankan perbelanjaan bulanannya.

“Kami berharap sumbangan kecil ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada beliau dan keluarganya,” katanya.

Sehubungan itu, Kong menggalakkan suri rumah dan ibu yang tidak bekerja serta memenuhi syarat kelayakan supaya mendaftar SKSSR sebagai salah satu bentuk perlindungan sosial sekiranya berdepan masalah kesihatan atau kesukaran lain.

“Pengorbanan golongan suri rumah sering tidak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya. SKSSR merupakan salah satu cara untuk memastikan mereka tidak terpinggir sekiranya berdepan masalah kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Kong berkata DAP akan terus menyuarakan pembaharuan dalam sistem kesihatan bagi memastikan akses kepada rawatan yang mampu milik dan mampan, khususnya bagi penyakit kronik seperti kegagalan buah pinggang.

“Kerajaan perlu mengkaji semula dan memperkukuh rangka bantuan perubatan sedia ada. Lebih banyak perlu dilakukan bagi memperkukuh bantuan kepada pesakit dialisis, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Oleh Connie Chieng