Messi dikecualikan daripada Perlawanan All-Star MLS

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LOS ANGELES: Bintang Inter Miami, Lionel Messi, tidak diwajibkan beraksi dalam Perlawanan All-Star Major League Soccer (MLS) minggu depan selepas mewakili Argentina pada perlawanan akhir Piala Dunia baru-baru ini, menurut liga bola sepak Amerika Syarikat itu pada Sabtu.

Messi sebelum ini dikenakan tindakan disiplin tahun lalu kerana tidak menyertai perlawanan tahunan yang menghimpunkan pemain terbaik MLS menentang bintang Liga MX dari Mexico.

BINTANG Inter Miami, Lionel Messi, diberi pengecualian daripada beraksi dalam Perlawanan All-Star MLS bagi membolehkannya berehat selepas kempen Piala Dunia. Foto AFP

Penyertaan dalam perlawanan itu lazimnya diwajibkan, kecuali atas faktor kecederaan.

Bagaimanapun, Piala Dunia tahun ini berlangsung ketika musim MLS masih berjalan, dengan liga itu berehat selama tujuh minggu, dan MLS mengesahkan pengecualian telah dipersetujui lebih awal bagi pemain yang mara ke peringkat akhir kejohanan antarabangsa berkenaan.

“Sehingga bermulanya musim 2026, Major League Soccer dan Persatuan Pemain MLS bersetuju bahawa sebaik sahaja seseorang pemain menamatkan kempen Piala Dunia, kelab masing-masing akan berbincang dengan pemain terbabit bagi menentukan tempoh rehat yang sesuai serta jadual kembali menjalani latihan dan menyertai pertandingan,” menurut kenyataan itu.

“Selaras dengan persetujuan itu, Rodrigo De Paul dan Lionel Messi dikecualikan daripada menyertai Perlawanan All-Star MLS 2026.”

Rakan senegara Messi, Rodrigo De Paul, turut beraksi pada perlawanan akhir Piala Dunia awal pagi Isnin lalu (waktu Malaysia) di New Jersey, yang menyaksikan Argentina tewas 0-1 kepada Sepanyol selepas masa tambahan.

Messi sebelum ini tersenarai dalam kelompok 11 pemain pertama yang dipilih menyertai skuad MLS bagi Perlawanan All-Star tahun ini, yang akan berlangsung di Charlotte, North Carolina, pada Rabu.

Tanpa kehadiran Messi, antara bintang yang bakal beraksi ialah Son Heung-min dari Los Angeles FC, Thomas Muller dari Vancouver Whitecaps dan kapten skuad kebangsaan Amerika Syarikat, Tim Ream, yang mewakili Charlotte.

Tahun lalu, Messi dan bekas rakan sepasukannya di Inter Miami, Jordi Alba, dikenakan penggantungan satu perlawanan selepas menarik diri daripada Perlawanan All-Star pada saat akhir.

Pesuruhjaya MLS, Don Garber, ketika itu menyatakan simpati terhadap jadual padat yang dihadapi Messi dan menyifatkan keputusan itu sebagai “amat sukar”, selain memaklumkan dasar lama liga berhubung Perlawanan All-Star akan dikaji semula.

Namun begitu, pemilik bersama Inter Miami, Jorge Mas, berkata Messi “amat kecewa” dengan hukuman penggantungan tersebut.- AFP