SARIBAS: Pesta Buntal Regata Saribas 2026 menjadi platform yang menggabungkan elemen sukan, keusahawanan, sejarah dan kebudayaan dalam usaha memperkukuhkan perpaduan masyarakat serta mempromosikan potensi Daerah Spaoh.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata penganjuran program itu bukan sahaja menjadi medan riadah dan rekreasi, malah membuka peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk mereka sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi komuniti.
Beliau berkata Regata Saribas mempunyai sejarah yang cukup istimewa di Sarawak apabila mula diperkenalkan sejak tahun 1873 sebagai pendekatan untuk memupuk keamanan dan mengeratkan hubungan masyarakat menerusi pertandingan lumba perahu.
“Pada hari ini, regata terus menjadi lambang perpaduan rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang, selaras dengan nilai keharmonian yang menjadi kekuatan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Buntal Regata Saribas 2026 di Dewan Sri Saribas, Kampung Mangut, hari ini, yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas dan Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh.
Dr Mohammad Razi berkata tema “Seiring Sejalai” yang dipilih bagi edisi kali ini menggambarkan semangat kebersamaan, saling membantu dan bergerak seiring dalam membangunkan komuniti yang bersatu, inklusif serta progresif.
Menurut beliau, sambutan terhadap festival itu amat menggalakkan apabila pertandingan lumba perahu disertai 11 pasukan, manakala Battle of the Band menghimpunkan sembilan kumpulan sebagai platform mencungkil bakat dan mengembangkan industri seni serta muzik tempatan.
Selain itu, acara ‘Nyagang’ menerima 15 penyertaan, manakala Pertandingan Gendang Melayu Peringkat Zon Sri Aman/Betong yang dianjurkan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Sarawak turut memeriahkan pengisian festival.
Beliau berkata sebanyak 120 gerai jualan dibuka sepanjang penganjuran festival berkenaan, sekali gus membuktikan keyakinan usahawan terhadap potensi Pesta Buntal Regata Saribas sebagai platform menjana pendapatan dan memperluaskan pasaran produk tempatan.

Dr Mohammad Razi berkata festival itu turut memberi peluang kepada pengunjung mengenali keunikan produk tempatan seperti ikan buntal, gula apong, makanan tradisional dan kraftangan, di samping menikmati keindahan serta keramahan komuniti setempat.
Katanya, penganjuran festival itu secara tidak langsung memberi limpahan manfaat kepada peniaga kecil, pengusaha makanan, pengusaha inap desa, pengusaha bot serta pelbagai sektor ekonomi lain di kawasan berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan festival yang bukan sahaja mengangkat warisan Regata Saribas, malah memperkukuhkan perpaduan masyarakat dan merancakkan pembangunan ekonomi komuniti.
“Semoga Pesta Buntal Regata Saribas akan terus berkembang sebagai acara tahunan yang dinanti-nantikan serta menjadi kebanggaan masyarakat Saribas dan Daerah Spaoh, selaras dengan semangat ‘Seiring Sejalai’,” katanya.
Oleh Adi Safarman





