Kereta musnah dijilat api di kawasan perumahan Batu Kawa

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Sebuah kereta jenis Honda EF musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Lorong Stephen Yong Park 4B3, Batu Kawa di sini, petang tadi.

Komander Operasi, PBK II Wan Afzal Reza Wan Abdul Rahman melaporkan, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.35 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa dikerahkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada 5.45 petang dan mendapati sebuah kereta Honda EF sedang marak terbakar dengan anggaran kemusnahan 100 peratus.

SEBUAH kenderaan sedang dijilat api dalam kejadian kebakaran petang tadi. Foto JBPM Sarawak.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman secara ofensif menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air daripada tangki jentera serta pam jentera sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya.

Jelasnya, kebakaran berjaya dikawal pada 5.48 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.00 petang selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi selamat.

ANGGOTA BBP Kota Sentosa menjalankan operasi pemadaman kereta Honda EF yang terbakar di Lorong Stephen Yong Park 4B3, Batu Kawa, Kuching, petang tadi. Foto JBPM Sarawak.

Operasi membabitkan lapan anggota bersama sebuah jentera Pemadam Kebakaran dan Penyelamat (Fire Rescue Tender) dari BBP Kota Sentosa.

Oleh Afiq Sallehi