LINGGA: Kemuliaan sesebuah masjid tidak hanya diukur pada keindahan seni bina atau kemegahan fizikalnya, sebaliknya bergantung kepada sejauh mana ia diimarahkan melalui solat berjemaah, majlis ilmu, aktiviti kebajikan serta usaha menyatukan masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, Masjid Nahdatul Islam di Kampung Melayu Tanjung Bijat yang dirasmikan itu perlu menjadi nadi pembangunan ummah dan bukan sekadar sebuah bangunan ibadah.
Menurut beliau, pembinaan masjid berkenaan merupakan legasi yang bakal diwarisi generasi akan datang serta mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan institusi Islam di negeri ini.

“Pembinaan masjid ini adalah satu amanah besar. Masjid dibina dengan batu, tetapi diimarahkan dengan hati. Tanggungjawab kita sebenarnya bermula selepas ia dirasmikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Nahdatul Islam Kampung Melayu Tanjung Bijat, semalam.
Beliau berkata, masjid perlu berfungsi sebagai pusat ibadah, penyebaran ilmu, kebajikan dan perpaduan yang mampu melahirkan masyarakat berakhlak serta saling membantu.
Katanya, kerajaan Sarawak terus memberi penekanan terhadap pembangunan institusi Islam kerana masjid berperanan membentuk modal insan yang berkualiti dan memperkukuh syiar Islam.
“Masjid bukan sekadar sebuah bangunan. Ia ialah tempat membina nilai, keluarga dan masyarakat yang akhirnya menjadi asas kepada sebuah negeri yang maju dan makmur,” ujarnya.
Abdul Rahman turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas penyediaan peruntukan bagi pembinaan masjid tersebut yang disifatkannya sebagai pelaburan jangka panjang demi kesejahteraan rakyat.
Masjid Nahdatul Islam dibina bermula pada 19 Jun 2024 dan siap pada Oktober 2025 dengan kos RM2 juta itu mampu menampung sehingga 150 jemaah pada satu-satu masa.
Sehubungan itu, beliau berharap masjid berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pusat ibadah, pusat ilmu, pusat pembangunan belia, pusat kebajikan dan pusat penyatuan ummah.
Beliau turut menyeru penduduk Kampung Melayu Tanjung Bijat dan kawasan sekitar supaya bersama-sama mengimarahkan masjid melalui penyertaan aktif dalam pelbagai program keagamaan dan kemasyarakatan.
Menurutnya, jawatankuasa pengurusan masjid juga perlu memperluaskan peranan institusi itu dengan menganjurkan majlis ilmu, kelas tuisyen, latihan kemahiran untuk belia dan suri rumah serta program peningkatan ekonomi keluarga agar masjid terus menjadi pusat pembangunan komuniti yang menyeluruh.
Majlis perasmian itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, serta Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.
Oleh Adi Safarman





