TTBC Sri Aman perkasa akar umbi lahirkan lebih ramai juara tinju

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIMANGGANG: Kelab Tinju Tidal Bore (TTBC) Sri Aman terus mempergiat pembangunan sukan tinju di peringkat akar umbi dalam usaha melahirkan lebih ramai petinju berpotensi yang mampu bersaing di pentas tertinggi, sekali gus mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia.

Presiden TTBC Sri Aman, Awangku Hafizi Awang Azahari berkata, pembangunan bakat sejak usia muda merupakan pendekatan terbaik bagi memastikan kesinambungan atlet berkualiti dalam sukan tinju negeri pada masa hadapan.

Menurut beliau, tumpuan terhadap pembangunan akar umbi menjadi asas penting dalam membentuk generasi baharu petinju yang bukan sahaja menguasai kemahiran teknikal, malah memiliki disiplin serta ketahanan mental untuk berdepan cabaran di peringkat lebih tinggi.

Katanya, latihan yang dirancang secara sistematik sejak awal mampu meningkatkan keyakinan dan daya saing atlet, selain mempersiapkan mereka menghadapi kejohanan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Usaha membimbing petinju muda perlu dilaksanakan secara berterusan kerana mereka merupakan pelapis yang bakal membawa nama Sarawak dan Malaysia pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, semalam.

Dalam perkembangan sama, Awangku Hafizi menzahirkan rasa bangga apabila seorang petinju TTBC Sri Aman, Muhammad Irfan Mohamad Ishak, terpilih mewakili Sarawak ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang berlangsung di Selangor pada edisi kali ini.

Beliau berkata, pemilihan Muhammad Irfan membuktikan kesungguhan atlet, jurulatih dan pengurusan kelab dalam membangunkan bakat muda telah membuahkan hasil, selain menjadi pencetus semangat kepada lebih ramai golongan muda untuk menceburi sukan tinju.

SUMBANGAN PERALATAN… Presiden TTBC Sri Aman, Awangku Hafizi Awang Azahari menyampaikan sumbangan peralatan latihan tinju kepada TTBC Sri Aman di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, semalam. Foto TTBC Sri Aman

“Kejayaan ini membuktikan pembangunan bakat di peringkat akar umbi mampu melahirkan atlet berkualiti apabila diberikan latihan, pendedahan dan sokongan secara berterusan.

“Saya yakin lebih ramai petinju muda TTBC Sri Aman akan melangkah ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang, khususnya mewakili Sarawak ke SUKMA,” ujarnya.

Sementara itu, warga TTBC Sri Aman merakamkan penghargaan kepada Awangku Hafizi atas sumbangan peralatan latihan tinju kepada kelab berkenaan bagi meningkatkan kemudahan serta kualiti latihan atlet.

Sumbangan berkenaan disalurkan menerusi Program Belia Unggul Komuniti Utuh dan Teguh (BUKUT) di bawah inisiatif APPGM-SDG yang bertujuan memperkukuh pembangunan belia serta melahirkan lebih ramai atlet berpotensi di Sri Aman.

Peralatan baharu itu dijangka dapat meningkatkan aspek keselamatan, mutu latihan dan tahap persediaan petinju dalam menghadapi pelbagai kejohanan di peringkat negeri serta kebangsaan.

Menurut warga kelab, kepimpinan berpandangan jauh serta komitmen berterusan Awangku Hafizi dalam membangunkan sukan tinju telah membantu meningkatkan prestasi TTBC Sri Aman sehingga muncul sebagai antara kelab yang semakin kompetitif di Sarawak.

Mereka berkata, pencapaian itu turut didorong kerjasama erat antara barisan jawatankuasa, jurulatih, ibu bapa dan komuniti yang sentiasa memberikan sokongan terhadap pembangunan atlet muda.

Warga TTBC berharap sumbangan serta komitmen berterusan semua pihak dapat menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan lebih ramai petinju cemerlang yang mampu mengharumkan nama Sri Aman, Sarawak dan Malaysia, selaras dengan aspirasi kelab “Bersama Membina Belia, Melahirkan Juara” serta slogan “I Will I Can, Next Level.”

Oleh Adi Safarman