SIBU: Lebih 10,000 rakyat pelbagai kaum, bangsa dan agama membanjiri Dataran Tun Tuanku Bujang untuk menyertai program Jalan Perpaduan Hari Sarawak 2026.
Ini jelas mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi teras masyarakat di Sarawak, pagi tadi.
Upacara pelepasan sekitar 7.00 pagi, telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau diiringi isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Fauziah Mohd Sanusi.
Tun Wan Junaidi berserta rombongan meluangkan masa meninjau Pameran Sejarah Hari Sarawak 2026 sebelum diraikan dalam majlis jamuan ringkas di Dapur Sibu.
Pada majlis itu, Tun Wan Junaidi dan isteri Toh Puan Fauziah menerima cenderamata tradisi berupa sampin dan selendang keringkam yang disampaikan oleh barisan Ketua Masyarakat Bahagian Sibu yang diketuai Temenggong Dato Sri Wan Hamid Edruce.
Acara sambutan diteruskan lagi pada sebelah malam ini menerusi Perhimpunan Hari Sarawak 2026 dan Konsert Rakyat di lokasi sama, yang dijangka turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut hadir Menteri Pengangkutan yang juga Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2026, Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh, ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta yang lain.
Oleh Akun Giman




