LONDON: Sepanyol mengakhiri penguasaan Argentina untuk merampas kedudukan teratas carta ranking dunia FIFA selepas menewaskan skuad ‘Albiceleste’ 1-0 pada aksi final Piala Dunia pada Ahad malam, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Saingan kejohanan musim panas ini menyaksikan perubahan ketara pada kedudukan ranking, dengan Norway menjadi penerima manfaat terbesar apabila melonjak 12 anak tangga ke kedudukan ke-19 keseluruhan selepas melangkah ke suku akhir, manakala Switzerland naik lima anak tangga ke kedudukan ke-15 selepas mara ke peringkat yang sama.

Perancis kekal di tangga ketiga di hadapan England, manakala Brazil naik satu anak tangga ke kedudukan kelima. Maghribi turut mencatatkan peningkatan apabila naik ke tangga keenam, manakala Portugal turun dua anak tangga ke kedudukan ketujuh.
Tuan rumah bersama Mexico naik empat anak tangga untuk menembusi kelompok 10 teratas, namun Jerman merosot dua anak tangga ke kedudukan ke-12 berikutan persembahan hambar yang berakhir dengan kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti kepada Paraguay pada pusingan 32 terakhir. – Bernama





