
LAWAS: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menceroboh kawasan pembinaan Jambatan Bandar Lawas baharu berikutan projek itu masih dalam fasa pembinaan dan belum siap sepenuhnya.
Pegawai Keselamatan syarikat pelaksana, Baru Belawan, berkata pihak kontraktor telah mengeluarkan notis larangan bagi mengelakkan orang awam memasuki tapak projek yang masih aktif.
“Bagi pihak majikan dan kontraktor, orang ramai dinasihatkan supaya tidak memasuki kawasan tapak projek sama ada pada waktu bekerja mahupun selepas waktu bekerja.

“Ini kerana mereka yang memasuki kawasan berkenaan berisiko terdedah kepada bahaya di tapak pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan orang ramai tidak dibenarkan menyeberangi jambatan itu menggunakan sebarang jenis kenderaan kerana struktur berkenaan belum dibuka untuk kegunaan awam.
“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti seperti berjoging atau bersiar-siar di atas jambatan sehingga projek itu siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Oleh Adeng Edrus


