
PREMIER Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan ucaptama sempena penerbangan sulung AirBorneo dari Kuching ke Kuala Lumpur, hari ini. Foto Nadya Victoria
KUCHING: AirBorneo dijangka menyokong pertumbuhan sektor pelancongan perubatan Sarawak menerusi pengukuhan rangkaian penerbangan yang dapat memudahkan pergerakan pesakit, pakar perubatan dan pelawat dari luar Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata perkembangan kemudahan perubatan swasta serta pembangunan pusat kanser di negeri ini dijangka meningkatkan potensi Sarawak sebagai destinasi rawatan perubatan.
Menurut beliau, Sarawak kini mempunyai beberapa kemudahan perubatan swasta yang semakin berkembang, termasuk hospital baharu serta kemudahan sedia ada yang sedang diperluaskan.
“Kita mempunyai kemudahan perubatan swasta. Nampaknya, standard rawatan perubatan kita juga boleh tahan.
“Sebab itu, ramai orang datang ke Sarawak untuk mendapatkan rawatan. Ini bermakna kita sedang menggalakkan pelancongan perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena penerbangan sulung AirBorneo dari Kuching ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini.
Abang Johari berkata pembangunan pusat kanser di Sarawak turut dijangka meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan penerbangan ke negeri ini.

PESAWAT AirBorneo berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sempena penerbangan sulungnya ke Kuala Lumpur, hari ini. Foto Nadya Victoria
Katanya, jaringan udara yang baik penting bagi memudahkan pergerakan pesakit dan keluarga mereka, selain menyokong mobiliti pakar perubatan.
“Kita akan membangunkan pusat kanser. Semua ini memerlukan sokongan logistik bagi membolehkan orang datang ke Sarawak untuk mendapatkan rawatan perubatan,” katanya.
Menurut beliau, terdapat ramai doktor dari Sarawak yang kini berkhidmat di Singapura dan mereka berpotensi kembali berkhidmat di negeri ini dengan adanya rangkaian hospital yang semakin berkembang.
“Ramai doktor kita berada di Singapura dan mungkin mereka akan kembali ke Sarawak melalui rangkaian hospital.
“Apabila semua ini tersedia, lebih ramai orang akan datang ke Sarawak, sama ada untuk bercuti ataupun mendapatkan rawatan perubatan,” katanya.
Beliau berkata AirBorneo akan berperanan memperkukuh hubungan udara dalam Sarawak, Malaysia, ASEAN dan seterusnya ke destinasi antarabangsa.
Katanya, jaringan penerbangan yang lebih luas akan memberi manfaat kepada pelbagai sektor ekonomi, termasuk pelancongan dan pelancongan perubatan.
“Apabila kita mempunyai jaringan seperti ini, pembangunan ekonomi kita akan diperkukuh secara keseluruhannya.
“Kita melihat manfaatnya dari perspektif makro dalam pembangunan ekonomi kita. Ini merupakan pendekatan yang sangat penting dan strategik yang diambil oleh kerajaan,” katanya.
Oleh Adele Rissa





