Tujuh kematian akibat rabies direkodkan di negara ini setakat Oktober

Facebook
WhatsApp
MALAYSIA merekodkan tujuh kematian akibat rabies setakat 12 Oktober tahun ini, dengan enam kes dilaporkan di Sarawak dan satu kes di Kedah.

PASIR MAS, 22 Oktober: Sebanyak tujuh kematian akibat rabies direkodkan di Malaysia setakat 12 Oktober tahun ini, membabitkan enam kes di Sarawak dan satu kes di Kedah, kata Pengarah Kanan Bahagian Kesihatan Awam Veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Dr Norhaliza Abdul Halim.

Beliau berkata antara mangsa ialah seorang lelaki berusia 44 tahun di Kota Samarahan, Sarawak pada Februari lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Kuching pada Mac serta lelaki berusia 31 tahun dari Kubang Pasu, Kedah, bulan lepas.

Beliau berkata sebahagian mangsa di Sarawak dijangkiti melalui gigitan anjing terbiar, manakala selebihnya melibatkan anjing peliharaan.

“Bagi kes di Kedah, mangsa dikenal pasti digigit anjing terbiar pada Ogos lepas ketika mahu memberi haiwan itu makan sebelum disahkan positif rabies pada 26 Sept dan meninggal dunia keesokannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Hari Rabies Sedunia Peringkat Kelantan 2026 di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, Dr Norhaliza berkata vaksinasi dan pemandulan anjing perlu dipertingkatkan, terutama di negeri yang bersempadan dengan Thailand termasuk Kelantan bagi mengurangkan risiko penularan penyakit berkenaan.

Beliau berkata pemandulan dapat mengawal pembiakan anjing, sekali gus mengurangkan populasi haiwan terbiar yang berpotensi menjadi punca penyebaran rabies, manakala vaksinasi membantu memberikan perlindungan daripada jangkitan.

Dr Norhaliza berkata sebanyak 97 kes rabies dan 90 kematian direkodkan di Malaysia dari 2017 hingga 12 Okt tahun ini.

“Di Kelantan, sebanyak 42 aduan berkaitan gigitan anjing direkodkan dengan 38 daripadanya disiasat setakat 19 Okt lepas.

“Dalam usaha kawalan, sebanyak 1,459 anjing divaksinasi manakala 1,536 anjing terbiar dihapuskan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap anjing terbiar, sebaliknya menyerahkan urusan penghapusan kepada pihak berkuasa untuk dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang. – Bernama

Kesihatan lebih berharga daripada kekayaan

SIBU, 17 Oktober: Kesihatan perlu diutamakan meskipun sibuk mencari rezeki dan memenuhi tuntutan kehidupan seharian kerana kesejahteraan diri merupakan asas