KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menasihatkan sebuah tadika di Langkawi yang tular kerana didakwa berada dalam keadaan daif supaya menghentikan operasi buat sementara waktu sehingga siasatan polis selesai.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, walaupun tadika berada di bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM), pihaknya tetap memainkan peranan dalam aspek perlindungan kanak-kanak menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Beliau berkata, JKM akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja (PDRM) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan semua aspek kebajikan, keselamatan dan perlindungan kanak-kanak dipatuhi.
“Kita menasihatkan supaya pihak tadika ini jangan dibuka dahulu. Biarlah siasatan diselesaikan terlebih dahulu dan ibu bapa juga diminta mematuhi nasihat yang diberikan oleh pihak polis demi memastikan anak-anak mereka berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek Naik Taraf Jeti Pending di sini, hari ini.
Nancy mengulas kes yang tular di media sosial melibatkan sebuah tadika di Langkawi, Kedah yang didakwa mengabaikan kebajikan kanak-kanak sehingga membawa kepada siasatan polis.
Media sebelum ini melaporkan polis sedang menyiasat dakwaan pengabaian kanak-kanak di tadika berkenaan susulan laporan yang dibuat oleh seorang bekas guru yang telah diberhentikan kerja pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin dilaporkan berkata, antara dakwaan yang dikemukakan ialah kanak-kanak dibiarkan tidur di atas lantai tanpa tilam selain terdapat dakwaan beberapa kanak-kanak pernah dikunci di dalam tandas.
Beliau berkata, setakat ini tiada ibu bapa tampil memaklumkan anak mereka mengalami kecederaan atau sebarang kesan fizikal, manakala siasatan kini tertumpu kepada penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan keterangan saksi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, walaupun pelesenan dan penyeliaan tadika berada di bawah KPM, perkara melibatkan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak tetap menjadi tanggungjawab KPWKM melalui JKM.
Menurut beliau, Pegawai Pelindung JKM akan menjalankan siasatan di lokasi dan menyediakan laporan yang akan membantu siasatan polis.
“Pegawai Pelindung memainkan peranan yang sangat penting kerana laporan mereka akan dirujuk sekiranya kes ini dibawa ke mahkamah,” katanya.
Nancy berkata, kementeriannya turut memberi teguran kepada pengendali tadika supaya memperbaiki aspek penjagaan, keselamatan dan kebajikan kanak-kanak serta tidak mengabaikan tanggungjawab mereka.
“Tindakan akan diambil bersama pihak polis dan agensi berkaitan terhadap pengendali tadika sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui ibu bapa mungkin berdepan dilema sekiranya tadika berkenaan merupakan satu-satunya pusat pendidikan awal kanak-kanak berhampiran tempat tinggal mereka.
Bagaimanapun, beliau berharap ibu bapa dapat memberi kerjasama dengan mematuhi arahan pihak berkuasa sehingga siasatan selesai demi memastikan keselamatan dan kebajikan anak-anak sentiasa terpelihara.
Oleh Shahrul Qaizat





