BEKENU, 20 November: Kerajaan tidak mahu ada golongan masyarakat yang tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya, khususnya pesakit terlantar dan orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan perhatian serta sokongan berterusan.
Demikian penegasan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus ketika menekankan kepentingan memperluas jangkauan perkhidmatan kebajikan bagi memastikan golongan memerlukan terus mendapat perhatian kerajaan.
Katanya, Program Ziarah Kasih anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak merupakan antara inisiatif mendekati masyarakat, khususnya di kawasan kampung dan rumah panjang, bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan.
“Ini adalah salah satu program yang dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan untuk mencapai masyarakat di kampung-kampung dan rumah panjang,” katanya.
Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih di Kampung Angus di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Rosey berkata kerjasama ketua masyarakat dan ketua kaum amat penting bagi membantu pihak kebajikan mengenal pasti serta menyalurkan maklumat mengenai individu atau keluarga yang memerlukan bantuan.
“Maklumat sangat penting. Sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat mengenai kes-kes yang memerlukan bantuan, mintalah supaya disampaikan terus kepada Pejabat Kebajikan.
“Maklumat juga boleh disalurkan secara dalam talian, melalui pejabat daerah atau pejabat wakil rakyat. Yang penting, maklumat itu sampai supaya mereka dapat dibantu sewajarnya,” katanya.

Mengulas bantuan kepada keluarga yang disantuni, Rosey berkata kedua-dua keluarga berkenaan menerima Bantuan Pesakit Kronik Terlantar atau Bantuan Penjagaan OKU Terlantar (BPT) sebanyak RM500 sebulan.
Katanya, bantuan tersebut disalurkan kepada penjaga bagi membantu meringankan beban perbelanjaan penjagaan pesakit, termasuk pembelian keperluan asas seperti lampin pakai buang dan susu.
Antara penerima yang disantuni ialah Putit Ludin, yang menjaga anaknya, Mordiah Dahau, 40, seorang OKU berdaftar akibat Cerebral Palsy dan memerlukan penjagaan rapi.
Putit merupakan ibu tunggal yang bekerja sendiri sebagai petani bagi menyara keluarga, selain menggalas tanggungjawab menjaga anaknya yang terlantar.
Turut menerima kunjungan ialah Raini Dadi, yang menjaga anaknya, Asharil Norin, 30, seorang OKU berdaftar yang turut memerlukan penjagaan rapi serta penggunaan lampin pakai buang.
Kedua-dua keluarga yang menetap di Kampung Angus, Bungai, Bekenu itu turut menerima sumbangan bakul makanan menerusi program berkenaan.
Oleh Adum Liu




