Jeti Pending hampir siap, dijangka beroperasi Ogos ini

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Projek menaik taraf Jeti Pending yang menelan kos lebih RM600,000 kini mencapai hampir 90 peratus kemajuan dan dijangka siap mengikut jadual pada penghujung Ogos ini, sekali gus bakal memberi kemudahan kepada penduduk sekitar, terutama di Kampung Muhibbah dan Kampung Pinggan Jaya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, projek yang bermula pada Februari lalu kini hanya berbaki sekitar 10 peratus kerja pembinaan, dengan baki utama melibatkan pembinaan dua pelantar (bay) berserta tangga sepanjang sekitar 12 hingga 13 meter.

Beliau berkata, berdasarkan perkembangan semasa, projek berkenaan berada di landasan yang baik untuk disiapkan mengikut jadual sekiranya tidak berdepan gangguan cuaca atau perubahan paras air sungai.

DATO Sri Nancy Shukri diberi taklimat mengenai perkembangan Projek Naik Taraf Jeti Pending Seberang Kampung Muhibbah semasa mengadakan lawatan kerja ke tapak projek di Pending, Kuching, hari ini.

“Kita mengharapkan ia dapat disiapkan tepat pada masanya kerana sekarang sudah bulan Julai dan kerja-kerja pembinaan hampir selesai. Yang tinggal hanyalah beberapa bahagian terakhir.

“Dengan harapan cuaca baik dan paras air sungai mengizinkan, Insya-Allah projek ini dapat disiapkan mengikut jadual atau mungkin hanya mengalami sedikit kelewatan jika berlaku perkara di luar jangkaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek Naik Taraf Jeti Pending di sini, hari ini.

 DATO Sri Nancy Shukri bergambar bersama wakil agensi pelaksana dan komuniti setempat selepas mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek Naik Taraf Jeti Pending di Pending, Kuching, hari ini.

Nancy berkata, cuaca yang tidak menentu merupakan cabaran utama kepada kontraktor ketika menyiapkan projek tersebut, walaupun paras air sungai masih boleh dijangka.

“Paras air boleh diramal, tetapi cuaca kadang-kadang tidak boleh dijangka. Itulah cabaran utama yang dihadapi kontraktor ketika ini. Bagaimanapun, setakat ini semuanya berjalan lancar dan kita berharap projek dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya.

Beliau berkata, jeti berkenaan akan memberi manfaat besar kepada penduduk sekitar, khususnya dari Kampung Muhibbah dan Kampung Pinggan Jaya yang menggunakan laluan sungai untuk menyeberang bagi urusan harian seperti ke tempat kerja, sekolah dan bandar.

 DATO Sri Nancy Shukri meneliti pelan reka bentuk Projek Naik Taraf Jeti Pending Seberang Kampung Muhibbah ketika lawatan kerja ke tapak projek di Pending, Kuching, hari ini.

Menurut beliau, walaupun laluan darat masih boleh digunakan, perjalanan melalui sungai jauh lebih singkat dan menjimatkan masa serta kos.

“Kalau melalui jalan darat, mereka perlu berpusing jauh melalui Semariang Nanas sebelum sampai ke destinasi. Sudah tentu ia mengambil masa lebih lama dan memerlukan penggunaan minyak yang lebih banyak.

“Sebab itu jeti ini penting kerana ia memudahkan pergerakan penduduk dan menjadi laluan yang lebih dekat untuk mereka menjalankan urusan harian,” katanya.

Beliau berkata, projek menaik taraf jeti itu melibatkan kos lebih RM600,000 dan dijangka dapat digunakan sebaik sahaja siap sepenuhnya pada Ogos nanti.

Nancy turut berharap cuaca yang baik sepanjang tempoh berbaki pembinaan akan membolehkan projek tersebut disiapkan tanpa sebarang kelewatan, sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat setempat yang telah lama menantikan kemudahan itu.

Oleh Shahrul Qaizat