Bendera Ibu Pertiwi terus kibarkan semangat patriotisme sempena Hari Sarawak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PETRA JAYA: Semangat patriotisme, cintakan negeri dan perpaduan rakyat Sarawak terus disemarakkan menerusi Upacara Menaikkan Bendera Ibu Pertiwi di Dataran Ibu Pertiwi, di sini, pagi ini.

Bermula 8.00 pagi, acara berkenaan disempurnakan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, bersempena sambutan Hari Sarawak yang akan diraikan pada 22 Julai ini.

DATO Sri Dr Stephen Rundi Utom (tengah) pada Upacara Menaikkan Bendera Ibu Pertiwi Edisi Julai 2026 bertemakan Hari Sarawak di Dataran Ibu Pertiwi, Petra Jaya, pagi ini. Adele Rissa

Bagi edisi kali ini, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bekerjasama dengan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah menyemarakkan lagi sambutan menerusi pelaksanaan upacara rasmi menaikkan Bendera Ibu Pertiwi.

Atur cara dimulakan dengan Kawalan Suku DBKU yang berkekuatan 10 anggota dan diketuai PKA Zulkarnain Zain, sebelum diiringi pasukan pancaragam berkekuatan 27 anggota yang diketuai Sarjan Major Sarjili Morshid.

 PASUKAN pancaragam mengiringi Kawalan Suku DBKU pada Upacara Menaikkan Bendera Ibu Pertiwi Edisi Julai 2026 bertemakan Hari Sarawak di Dataran Ibu Pertiwi, Petra Jaya, pagi ini. Adele Rissa 

Majlis turut diserikan dengan persembahan khas Pancaragam dan Color Guard Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road, diikuti persembahan istimewa lagu ‘Pertiwiku Tercinta’ oleh Ermie Sanisha dan Azam Pitt.

Bendera berkenaan yang menjadi antara mercu tanda utama bandar raya Kuching berukuran 25 meter panjang dan 12.4 meter lebar, selain berketinggian 99.4 meter, dinaikkan dengan penuh tertib dan adat.

 BENDERA Ibu Pertiwi berkibar megah di Dataran Ibu Pertiwi, Kuching, sempena Upacara Menaikkan Bendera Ibu Pertiwi Edisi Julai 2026 bertemakan Hari Sarawak, pagi ini. Foto Adele Rissa

Sejak diperkenalkan pada Julai 2024, program berkenaan terus menjadi inisiatif berterusan DBKU dalam menyemai semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak.

Upacara menaikkan Bendera Ibu Pertiwi itu diadakan pada Ahad pertama setiap bulan dan terbuka kepada orang ramai untuk hadir menyaksikan acara berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Oleh Adele Rissa