ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Walaupun Kerajaan Malaysia membenarkan hampir semua sektor ekonomi, aktiviti perniagaan beroperasi dan aktiviti sukan dijalankan bermula 4 Mei, rakyat haruslah diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dalam memerangi wabak Covid-19 kerana negara masih belum menang dalam menanganinya.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dapat dilaksanakan selama-lamanya dan ia adalah penting bagi kerajaan melaksanakan perkara itu namun dengan pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang mesti dipatuhi.
“Saya menyambut baik dan gembira mendengar berita itu daripada Perdana Menteri mengenai kelonggaran PKP dengan banyak aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan beroperasi mengikut peraturan tertentu.
“Apa yang penting adalah kerajaan kini berjaya mewujudkan kesedaran di kalangan orang awam di Malaysia menerusi pelaksanaan PKP dan rakyat akan terus mengamalkan kebersihan diri yang baik, mempraktikan penjarakan sosial, menggunakan cecair pensanitasi tangan, penutup mulut dan hidung selain mengelakkan perhimpunan melibatan orang ramai.
“Dengan kesedaran ini di seluruh Malaysia, maka inilah masa sesuai untuk memulakan semula ekonomi Malaysia, namun rakyat harus tetap menjaga dan memastikan semua nasihat dalam memerangi virus ini dipatuhi dengan ketat,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan turut menyambut baik pengumuman membenarkan aktiviti sukan luar yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai.
“Bagi aktiviti sukan santai tertentu yang dibenarkan amat dialu-alukan namun kita tetap harus berhati-hati dalam memerangi Covid-19.
Terdahulu pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada perutusan sempena sambutan Hari Pekerja mengumumkan semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di Malaysia akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bermula 4 Mei ini.
Beliau berkata, selain perniagaan, aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan dan ini termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan tertutup dan stadium.
Namun katanya, aktiviti sukan luar yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan termasuk joging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan dengan syarat anda mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan.