Kajian dapati kemurungan jejaskan kelima-lima deria manusia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SYDNEY: Satu kajian baharu yang meneliti kesan kemurungan terhadap kelima-lima deria manusia mendapati gangguan itu bukan sekadar melibatkan aspek kognitif dan emosi, sekali gus membuka ruang kepada pendekatan rawatan yang lebih khusus, lapor Xinhua.

Penyelidik dari Universiti New England (UNE) di Australia melaporkan bahawa individu yang mengalami kemurungan menunjukkan tahap ‘hiposensitiviti deria’ yang jauh lebih tinggi merentasi kelima-lima deria berbanding individu yang tidak mengalami kemurungan, menurut kenyataan UNE yang dikeluarkan pada Khamis.

“Perkara ini belum pernah didokumentasikan secara terperinci sebelum ini dan menunjukkan yang kemurungan boleh mencetuskan tindak balas yang melibatkan seluruh tubuh,” kata Profesor Neurosains UNE Christopher Sharpley, yang juga ketua penyelidik kajian berkenaan yang diterbitkan dalam jurnal Translational Psychiatry terbitan Nature.

ORANG kemurungan. Foto hiasan.

Pengunduran deria merupakan cara tubuh menyesuaikan diri dengan kesakitan, kehilangan, tekanan dan konflik yang boleh mencetuskan kemurungan, kata Sharpley.

“Apabila dunia seseorang menjadi terlalu menyakitkan atau tidak lagi dapat dihadapi, sehingga mereka tidak mampu mengatasinya, satu-satunya tindak balas tubuh ialah mengundurkan diri,” katanya sambil menjelaskan bahawa pengurangan kepekaan deria mungkin membantu tubuh menjauhkan diri daripada persekitaran yang dirasakan terlalu membebankan.

Pasukan penyelidik meneliti 51 kajian terdahulu yang mengkaji deria penglihatan, sentuhan, rasa, pendengaran dan bau dan berpandangan bahawa memasukkan aspek pengunduran deria sebagai sebahagian daripada kriteria diagnosis kemurungan boleh membuka jalan kepada diagnosis yang lebih menyeluruh serta rawatan berasaskan bukti.

Kajian itu sebahagian daripada penyelidikan lebih meluas oleh Kumpulan Penyelidikan Otak-Tingkah Laku UNE, yang mengenal pasti lima subjenis kemurungan berdasarkan corak gelombang otak yang berbeza dalam kalangan lebih 200 peserta. Setiap subjenis memerlukan pendekatan terapi yang lebih khusus berbanding penggunaan strategi rawatan yang seragam, kata Menurut Sharpley lagi. – Bernama

Program Saringan Kesihatan Komuniti perkasa amalan hidup sihat

MESYUARAT… Antara ahli jawatankuasa yang menghadiri mesyuarat penyelarasan Program Saringan Kesihatan Komuniti 2026 sebagai persediaan menjelang penganjurannya pada 18 Julai ini di Dewan Masyarakat Bintangor. Foto Pusat Khidmat Meradong.