18 juruterbang HAS terima pengiktirafan Airbus capai jam penerbangan H175

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MIRI: Seramai 18 juruterbang HAS International Sdn. Bhd. (HAS) sebuah syarikat penyedia perkhidmatan helikopter luar pesisir milik tempatan menerima pengiktirafan berprestij daripada Airbus Helicopters selepas berjaya mencapai kejayaan mercu tanda 500, 1,000, dan 1,500 jam penerbangan menggunakan helikopter jenis Airbus H175.  

Penyampaian anugerah tersebut disempurnakan bersempena dengan Minggu Keselamatan HAS 2026 yang berlangsung di Miri Helibase di sini, semalam.  

PENGARAHUrusan HAS International, Hasery Bakar (kanan) bersama Pengarah Urusan Airbus Helicopters Malaysia, Axel de Pascal pada Majlis Pengiktirafan Juruterbang H175 sempena Minggu Keselamatan HAS 2026 di Miri.

Pencapaian luar biasa ini diraih dalam tempoh tiga tahun sahaja sejak HAS memulakan operasi H175 di Sarawak, sekali gus mencerminkan perkembangan pesat komuniti juruterbang H175 paling berpengalaman di rantau ini.  

Pengarah Urusan HAS International Sdn. Bhd., Hasery Bakar berkata, persekitaran operasi syarikat menuntut standard yang amat tinggi melangkaui sekadar jumlah jam penerbangan. 

PENGARAH Urusan HAS International, Hasery Bakar (tengah kanan) dan Pengarah Urusan Airbus Helicopters Malaysia, Axel de Pascal (tengah kiri) bersama 18 juruterbang HAS yang diiktiraf oleh Airbus atas pencapaian mercu tanda jam penerbangan H175. 

“Setiap hari, pasukan kami beroperasi di salah satu wilayah minyak dan gas paling sibuk di Malaysia, menyokong tujuh syarikat tenaga bertaraf dunia yang mengekalkan jangkaan operasi, standard jaminan, dan keperluan keselamatan yang ketat.  

“Pengiktirafan daripada Airbus ini bukan sahaja bukti kepada pengalaman yang dikumpulkan oleh juruterbang kami, malah kekuatan sistem yang menyokong mereka daripada jurutera dan teknikal kepada pasukan operasi, keselamatan, dan sokongan,” katanya.  

Tambah Hasery, pencapaian itu juga membuktikan keupayaan khusus yang telah dibangunkan di Sarawak serta sumbangan syarikat dalam memperkukuh keupayaan penerbangan negeri.  

Ini selaras dengan aspirasi Sarawak untuk membina ekosistem aeroangkasa yang kompetitif di peringkat global serta ekonomi tenaga yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan.

Sejak merintis operasi Airbus H175 di Malaysia pada tahun 2023, HAS membekalkan perkhidmatan pengangkutan kru luar pesisir dan pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) kepada syarikat terkemuka seperti PETRONAS Carigali, Shell Malaysia, TotalEnergies, Mubadala Energy, ENEOS, PTTEP, dan SK Earthon. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Airbus Helicopters Malaysia, Axel de Pascal menzahirkan rasa bangga ke atas pencapaian para juruterbang HAS.  

“Pencapaian ini mencerminkan standard profesionalisme, disiplin operasi, dan keselamatan yang tinggi yang ditunjukkan oleh HAS dalam menyokong misi helikopter luar pesisir,” ujar beliau.  

Anugerah berkenaan disampaikan semasa Minggu Keselamatan HAS 2026 yang bertemakan ‘Bertindak Betul, Sentiasa Belajar’ (Respond Right, Learn Always) yang berlangsung dari 14 hingga 17 Julai.  

Program tersebut menghimpunkan kakitangan, pelanggan, pengawal selia, dan rakan industri untuk memperkukuh kepimpinan keselamatan serta amalan terbaik dalam sektor helikopter luar pesisir. 

Oleh Afiq Sallehi