ICQS Sungai Tujoh terima tambahan kakitangan, pembangunan RM31 juta dipercepat

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
BINCANG… Ahli Parlimen Miri merangkap Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man ketika mengadakan pertemuan dengan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bahagian Pengurusan Sumber Manusia serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi membincangkan isu kekurangan kakitangan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh, Miri.

MIRI: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh di sini bakal menerima tambahan kakitangan secara berperingkat dalam dua fasa bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja, sekali gus melancarkan urusan keluar masuk di pintu sempadan utama antara Miri dan Brunei.

Ahli Parlimen Miri merangkap Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersetuju menambah kakitangan selepas beliau membangkitkan isu kekurangan tenaga kerja di kompleks berkenaan.

Menurutnya, fasa pertama melibatkan penempatan 20 kakitangan pentadbiran baharu, manakala fasa kedua menyaksikan penambahan pegawai operasi di kaunter imigresen, di samping mempercepat proses pengambilan dan latihan kakitangan baharu.

“Penambahan ini amat penting kerana terdapat anggota yang terpaksa bekerja sehingga 14 jam sehari, termasuk pada hujung minggu dan cuti umum, bagi menampung kekurangan kakitangan.

“Keadaan menjadi semakin mencabar apabila jumlah pengguna ICQS terus meningkat, terutama pada musim perayaan, cuti sekolah, musim pelancongan dan hujung minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chiew berkata, beliau baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan pegawai KDN, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bahagian Pengurusan Sumber Manusia serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi membincangkan isu berkenaan.

Beliau berkata, Miri kini semakin menerima kehadiran pelancong antarabangsa yang memilih untuk memasuki Sarawak melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebelum meneruskan perjalanan darat ke Miri.

Menurutnya, proses pelepasan yang lebih pantas, lancar dan cekap di ICQS Sungai Tujoh akan membolehkan Miri memanfaatkan lapangan terbang berkenaan sebagai pintu masuk tambahan bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.

“Proses pelepasan yang lebih cekap bukan sahaja mengurangkan masa menunggu dan meningkatkan pengalaman pelawat, malah menjadikan Miri lebih menarik kepada ejen pelancongan, pengendali pelancongan serta pelancong yang merancang perjalanan rentas sempadan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa ICQS Sungai Tujoh telah diluluskan peruntukan RM31 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi pembangunan lanjut.

Katanya, kompleks itu juga dijangka menjadi antara tiga ibu pejabat AKPS di Sarawak yang akan menyelia operasi di 23 pos sempadan lain di negeri ini.

Chiew berkata, pembangunan menyeluruh ICQS Sungai Tujoh memerlukan kerjasama erat antara KDN, JIM dan AKPS, dan beliau akan terus memantau pelaksanaan projek berkenaan bagi memastikan ia dapat direalisasikan secepat mungkin.

Oleh Liong Chai Ling