
BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee menziarahi mangsa kebakaran Rumah Jangi Jambai, Jalan Ulu Sebauh, di sini, bagi meninjau keadaan keluarga yang terjejas serta menyampaikan bantuan awal.
Lawatan itu turut disusuli perbincangan bersama pegawai Pejabat Daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung tindakan susulan bagi membantu keluarga mangsa.
Menurut Iskandar, bantuan awal berupa sumbangan dan bakul makanan telah disampaikan bagi meringankan beban keluarga yang terjejas.
Selain itu, beliau meminta keluarga mangsa mengemukakan permohonan kepada Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) untuk mendapatkan penempatan sementara di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandaria Park sekiranya masih terdapat kekosongan unit.
“Saya juga akan menyediakan surat sokongan bagi membantu mempercepatkan proses permohonan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, beliau telah meminta JKR menjalankan kerja-kerja pengukuran dan menyediakan anggaran kos bagi membaik pulih bahagian rumah yang rosak akibat kebakaran.
Beliau memberitahu, keluarga mangsa yang memerlukan bantuan pakaian sekolah, buku dan kelengkapan persekolahan anak-anak boleh menghubungi beliau atau Pejabat Daerah bagi membolehkan bantuan disalurkan dengan segera.
“Saya juga telah berbincang dengan Pejabat Daerah mengenai bentuk bantuan awal yang boleh disalurkan bagi memastikan kebajikan keluarga mangsa terus terpelihara sepanjang tempoh pemulihan,” katanya.
Ujarnya lagi, beliau akan terus memantau perkembangan keadaan keluarga mangsa bagi memastikan bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan.
Dalam kejadian pada petang Rabu, sebuah rumah panjang 24 pintu iaitu Rumah Jangi Jambai terbabit dalam kebakaran, melibatkan kira-kira 160 penghuni.
Kebakaran dilaporkan melibatkan Pintu 4, Pintu 5 dan Pintu 6 rumah panjang berkenaan, dengan api sedang marak ketika pasukan bomba tiba di lokasi.
Oleh Carolyne Utih



