
BAU: Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Bau telah mengadakan Program Ceramah Kesedaran Jenayah Komersial di SK Siniawan semalam bagi meningkatkan kesedaran guru-guru mengenai trend terkini jenayah komersial.
Beliau berkata program tersebut bertujuan memberi pendedahan serta memperkukuhkan pengetahuan peserta mengenai pelbagai taktik penipuan supaya mereka lebih berwaspada dan tidak mudah menjadi mangsa.
Sepanjang ceramah, peserta diberi penerangan mengenai pelbagai bentuk jenayah komersil termasuk penipuan e-dagang, penipuan dalam talian, pinjaman tidak wujud, akaun keldai, love scam, penipuan bersemuka serta penipuan melibatkan pembayaran QR Pay.
Peserta turut diberikan panduan pencegahan serta risalah bagi membantu mereka mengenal pasti dan mengelakkan modus operandi penjenayah.
Mohd Haide berkata BSJKD turut memperkenalkan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), termasuk talian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), aplikasi Whoscall dan Portal Semak Mule bagi membentuk masyarakat yang lebih celik digital serta peka terhadap ancaman jenayah siber.
Oleh Connie Chieng



