Media benteng pertahan kestabilan politik, ekonomi negara – Fadillah

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Media memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara dengan menyampaikan maklumat yang tepat, berfakta serta bertanggungjawab kepada rakyat, khususnya ketika berdepan ketidaktentuan geopolitik dan landskap politik semasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, peranan media penting bagi memastikan rakyat kekal tenang dan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara serta negeri.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, cabaran geopolitik global yang semakin tidak menentu memberi kesan kepada pelbagai sektor termasuk tenaga dan ekonomi, sekali gus memerlukan komunikasi yang berkesan bagi mengelakkan salah faham serta spekulasi dalam kalangan masyarakat.

DATUK Amar Fadillah Yusof ketika menyampaikan ucapan pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 Peringkat Sarawak dan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 di Kuching malam ini.

“Saya melihat amat penting khususnya peranan media untuk memastikan rakyat berada dalam keadaan yang aman tenteram supaya kestabilan dapat dicapai.

“Dengan itu barulah kita boleh memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi yang berterusan untuk negeri dan rakyat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 Peringkat Sarawak dan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026, di sini, malam ini.

DATUK Amar Fadillah Yusof bergambar kenangan bersama tetamu kehormat lain serta penerima Anugerah pelbagai kategori dalam kalangan pengamal media pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 Peringkat Sarawak dan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026.

Menurutnya, keadaan geopolitik semasa boleh menjejaskan perancangan negara termasuk sektor tenaga, peningkatan kos serta pertumbuhan ekonomi, yang akhirnya memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, keadaan politik yang tidak menentu juga boleh mengalih perhatian daripada usaha membangunkan ekonomi, justeru media perlu membantu mewujudkan suasana yang kondusif melalui penyampaian maklumat yang tepat dan berimbang.

Katanya, cabaran media hari ini bukan lagi menjadi organisasi pertama melaporkan sesuatu berita, sebaliknya menjadi pihak yang paling tepat, berintegriti dan dipercayai.

“Pasukan perhubungan awam, penjawat awam dan juga wartawan perlu menjadi lapisan penapis maklumat (buffer) bagi memastikan fakta yang tepat, pantas dan telah disahkan sampai kepada masyarakat.”

“Kita tidak boleh membiarkan kekosongan maklumat diisi oleh spekulasi. Kita tidak boleh membiarkan kepalsuan bergerak lebih pantas daripada kebenaran. Sebab itulah kita mesti berdiri bersama, segulai sejalai,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), media sosial dan ledakan kandungan dalam talian telah mengubah landskap kewartawanan secara menyeluruh, sekali gus menuntut amalan kewartawanan yang lebih bertanggungjawab dan berteraskan etika.

Menurutnya, organisasi media juga perlu terus melabur dalam pembangunan modal insan dengan melengkapkan wartawan kemahiran baharu seperti analitik data, semakan fakta, keselamatan digital, kewartawanan data dan penggunaan AI secara beretika.

Beliau turut mencadangkan agar Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) memainkan peranan lebih aktif dalam membantu memperkukuh latihan serta pembangunan profesional wartawan, khususnya dalam bidang yang memerlukan pengetahuan khusus seperti ekonomi digital, peralihan tenaga dan ekonomi hijau.

Pada masa sama, Fadillah memuji peranan media di Sarawak yang disifatkan berjaya membantu mengekalkan perpaduan, keamanan dan kestabilan negeri melalui penyampaian maklumat yang bertanggungjawab.

“Saya yakin rakan-rakan media di Sarawak telah memainkan peranan ini sehingga menyebabkan Sarawak menjadi sebuah negeri yang bersatu padu, aman dan stabil,” katanya.

Oleh Afiq Sallehi