
LONDON, United Kingdom: Thomas Tuchel mungkin mengkritik barisan pemain England kerana terlalu “pasif” ketika tewas kepada Argentina dalam separuh akhir Piala Dunia, namun pengendali dari Jerman itu pula menjadi sasaran kritikan media Britain susulan pendekatan taktikalnya yang dianggap terlalu bertahan.
Dikatakan terjejas akibat pertukaran pemain yang terlalu berhati-hati oleh Tuchel, England mensia-siakan peluang keemasan untuk mara ke final Piala Dunia buat kali pertama sejak 1966 apabila melepaskan kelebihan sebelum Argentina menjaringkan dua gol pada minit-minit akhir untuk mencatat kemenangan 2-1 pada awal pagi tadi.
Akhbar tabloid Britain, The Sun, merumuskan kekecewaan penyokong England menerusi tajuk utama berbunyi “Tuchel hilang arah?”dan “Thomas gagal teruk”.
Tuchel dikritik hebat kerana memasukkan Dan Burn dan Ezri Konsa bagi membentuk benteng lima pertahanan dalam usaha mempertahankan kelebihan selepas Anthony Gordon meletakkan England di hadapan 1-0 pada awal babak kedua di Atlanta.
Bagi penyokong England, kekalahan itu mengimbau semula episod mengecewakan apabila pasukan itu sebelum ini turut mensia-siakan kelebihan satu gol ketika tewas kepada Croatia dalam separuh akhir Piala Dunia 2018 dan kepada Itali dalam final Euro 2020 yang ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.
Daily Mail turut mengecam Tuchel dengan menyatakan bahawa walaupun beliau dibawa masuk untuk menyelesaikan kelemahan taktikal yang dikaitkan dengan bekas pengendali Gareth Southgate, jurulatih dari Jerman itu juga terlalu berhati-hati ketika saat paling penting.
“Pertukaran pemain oleh Thomas Tuchel menyebabkan England tewas kepada Argentina. Mereka ketandusan idea dan seolah-olah ditakdirkan untuk kalah sejak detik itu. Ia merupakan kembalinya tabiat lama yang sering dikritik ketika era Gareth Southgate,” lapor akhbar itu.
Kolumnis The Times, Martin Samuel pula berpendapat Tuchel tidak banyak bezanya dengan beberapa bekas pengurus England yang gagal sebelum ini kerana mengamalkan pendekatan terlalu konservatif.
“Ketua jurulatih England sepatutnya mengubati ketakutan pasukan ini, tetapi pengurus lazimnya bersikap pragmatik,” tulisnya.
“‘Sesiapa yang tidak melompat ialah orang England’, demikian nyanyian penyokong Argentina. Dan sesiapa yang tahu bagaimana mempertahankan kelebihan dalam separuh akhir Piala Dunia, sudah tentu bukan England.
“Penyakit itu masih wujud dan terus merebak. Kumpulan pemain berbeza, pengurus baharu yang hebat, tetapi pengakhirannya tetap mengecewakan.”
Kenyataan Tuchel sendiri turut digunakan untuk mengkritiknya selepas beliau sebelum ini mendakwa England terlalu takut untuk menampilkan permainan sebenar ketika tewas kepada Sepanyol dalam final Euro 2024, iaitu perlawanan terakhir Southgate sebagai pengendali pasukan.
“Mereka lebih takut tersingkir daripada kejohanan, berbanding memiliki keterujaan dan keinginan untuk memenanginya,” kata Tuchel pada Mac lalu.
Mengulas kenyataan itu, Samuel menulis: “Nampaknya mengendalikan pasukan kebangsaan tidak semudah yang disangka.”
Bagaimanapun, media Britain melaporkan bahawa jurulatih berusia 52 tahun yang pernah membimbing Chelsea dan Paris Saint-Germain (PSG) itu dijangka kekal mengendalikan England kerana kontraknya hanya berakhir selepas Euro 2028.
“Thomas Tuchel kekal sebagai pengendali England walaupun tewas secara ‘pengecut’,” demikian tajuk utama sebuah lagi tabloid Britain, The Mirror, yang memetik perkataan digunakan bekas penjaga gol juara Piala Dunia 2010 bersama Sepanyol, Iker Casillas, bagi menggambarkan strategi diterapkan Tuchel.
“Mereka (England) menjaringkan gol kemudian berundur bertahan. Pendekatan yang pengecut,” tulis Casillas menerusi platform X. – AFP




