Padah terjebak dadah, dua lelaki dicekup polis di Batang Ai Ilir Engkilili

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LUBOK ANTU: Tindakan dua lelaki tempatan terbabit dalam penyalahgunaan dadah membawa padah apabila mereka ditahan polis dalam satu operasi khas di kawasan Batang Ai Ilir, Engkilili, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin berkata, kedua-dua suspek berusia 25 dan 31 tahun itu ditahan selepas gerak-geri mereka menimbulkan kecurigaan anggota polis yang menjalankan operasi.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

DUA lelaki tempatan berusia 25 dan 31 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan berkaitan dadah dalam satu operasi di kawasan Batang Ai Ili, Engkilili, semalam. Foto: IPD Lubok Antu

“Semakan lanjut turut mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah.

Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua suspek boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

DSP Pricha menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah, malah operasi membanteras jenayah itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Beliau turut menggesa masyarakat supaya terus memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah bagi membantu memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di Daerah Lubok Antu terus terpelihara.

Oleh Adi Safarman