

SEBAHAGIAN daripada 175 PATI warga Indonesia yang ditahan selepas Operasi Bersepadu Ops MEGA di sebuah penempatan pekerja di Linau Mewah Estate, Jalan Lambir, Miri, lewat malam semalam. Foto JIM Sarawak
MIRI: Seramai 175 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan dalam Operasi Bersepadu Ops MEGA yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak di sebuah penempatan pekerja di Linau Mewah Estate, Jalan Lambir, di sini, semalam.
Operasi yang diketuai Unit Penguat Kuasa Imigresen Miri itu bermula kira-kira 11.35 malam semalam dan berakhir sekitar 4.00 pagi tadi. Operasi tersebut bertujuan mengesan serta membanteras pelanggaran undang-undang imigresen.
Menurut kenyataan JIM Sarawak, seramai 250 warga asing telah diperiksa dalam operasi itu sebelum 175 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155].
Daripada jumlah yang ditahan, 90 ialah lelaki, 53 wanita dan 32 kanak-kanak, yang kesemuanya merupakan warganegara Indonesia, menurut kenyataan itu.
Operasi bersepadu tersebut melibatkan 57 anggota penguat kuasa, terdiri daripada 30 pegawai dan anggota JIM Sarawak, 10 anggota Jabatan Tenaga Kerja (JTK), sembilan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), empat anggota Pasukan Polis Marin (PDRM) serta empat anggota Unit Keselamatan dan Perlindungan Sarawak (UKPS).
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bekenu bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
JIM Sarawak memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara bersepadu dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen, selain membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini.


