Abang Johari: AI ibarat pisau, media perlu bijak hadapi cabaran baharu

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ABANG Johari berucap ketika Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2026 di Kuching hari ini.

KUCHING: Pengamal media perlu mencari keseimbangan antara kebebasan bersuara, tanggungjawab etika dan kepercayaan masyarakat ketika berdepan dengan perubahan landskap teknologi yang semakin pesat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pengecaman wajah dan pengurusan data raya (big data) telah mewujudkan cabaran baharu yang memerlukan pertimbangan bijaksana, khususnya dalam memastikan kebebasan tidak disalahgunakan.

Menurut beliau, konsep kebebasan mutlak perlu dinilai bersama-sama prinsip etika kerana setiap tindakan membawa kesan kepada masyarakat.

Beliau memberi perumpamaan mengenai hubungan antara seorang bapa dengan anak-anaknya dalam soal keadilan apabila layanan yang dianggap adil oleh seseorang mungkin ditafsirkan secara berbeza oleh individu lain.

Katanya, keadaan itu menunjukkan bahawa keadilan dan kebebasan memerlukan kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan.

“Di sinilah kebebasan, di mana kebijaksanaan diperlukan. Bapa mesti mempunyai kebijaksanaan tentang cara melayan ketiga-tiga anak tersebut.

“Dalam situasi ini, media perlu menilai isu kebebasan mutlak berbanding kebebasan yang mempunyai batasan, dalam rangka pertimbangan etika tertentu,” katanya ketika berucap pada Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2026 di Kuching, hari ini.

Abang Johari berkata, elemen paling penting dalam dunia kewartawanan masa kini ialah kepercayaan (trust), sama ada dalam hubungan antara media dengan pembaca mahupun tanggungjawab terhadap maklumat yang disampaikan.

Beliau turut menyentuh bagaimana perkembangan teknologi telah mengubah landskap media apabila platform media sosial kini bergantung pada pusat data yang mampu menganalisis maklumat pengguna.

Menurut beliau, penguasaan data oleh syarikat teknologi besar turut menimbulkan persoalan mengenai hala tuju maklumat serta kebebasan dalam pelaporan.

Mengulas mengenai AI, beliau menyifatkan teknologi itu seperti sebilah pisau yang boleh membawa manfaat atau kemudaratan bergantung pada cara manusia menggunakannya.

Katanya, kewujudan teknologi seperti deepfake menunjukkan keperluan manusia menggunakan pertimbangan sendiri untuk membezakan antara maklumat yang benar dengan yang palsu.

“AI hari ini mesti disertai pertimbangan etika tertentu. Kebebasan dan etika mesti bergerak seiring,” katanya.

Beliau berkata, cabaran media dalam era teknologi bukan sahaja berkaitan penggunaan alat baharu, malah bagaimana memastikan nilai kemanusiaan, integriti dan kewartawanan berkualiti terus dipertahankan.

Oleh Afiq Sallehi