Ladang jagung Kampung Labak Tungan diperluas, perkukuh agenda sekuriti makanan Sarawak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DATUK Martin Ben merakam gambar kenangan ketika mengadakan lawatan ke Projek Peluasan Ladang Jagung Kampung Labak Tungan di Serian semalam. Foto UKAS

SERIAN: Projek peluasan Ladang Jagung Kampung Labak Tungan di bawah Projek Fasa 2 Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dijangka meningkatkan pengeluaran jagung di daerah ini, sekali gus memperkukuh agenda sekuriti makanan Sarawak dan mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan ternakan.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben berkata, pelaksanaan projek itu bukan sahaja mampu meningkatkan hasil pengeluaran jagung, malah memberi impak positif kepada pembangunan sektor pertanian serta menjana pendapatan komuniti setempat.

“Ladang ini berpotensi menjadi antara pemangkin utama dalam meningkatkan pengeluaran jagung di Serian, sekali gus menyokong usaha kerajaan memperkukuh sekuriti makanan negeri,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Ladang Jagung Kampung Labak Tungan, di sini, semalam.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, projek peluasan ladang di bawah GKCDA Fasa 2 melibatkan peruntukan sebanyak RM3.5 juta.

Menurut beliau, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM7.6 juta bagi pembinaan jalan akses dan pusat pengumpulan jagung untuk memperkukuh operasi ladang serta memudahkan pemasaran hasil pertanian, dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai agensi pelaksana.

DATUK Martin Ben berucap ketika ketika mengadakan lawatan kerja ke Ladang Jagung Kampung Labak Tungan, Serian semalam. Foto UKAS

John berkata, ladang berkenaan kini meliputi kawasan seluas 6.13 hektar di bawah Fasa 1 dan hanya mampu menghasilkan dua musim tuaian setahun.

“Dengan peluasan kawasan penanaman serta penyediaan infrastruktur baharu, pengeluaran jagung dijangka meningkat sekali gus menyokong pembangunan ekonomi luar bandar dan agenda sekuriti makanan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, sehingga Mei 2026, Sarawak telah membelanjakan kira-kira RM160 juta bagi mengimport makanan ternakan, manakala sepanjang 2025, perbelanjaan mengimport bijirin dan makanan ternakan mencecah RM429 juta.

Menurutnya, kejayaan projek peluasan Ladang Jagung Kampung Labak Tungan berpotensi mengurangkan kebergantungan Sarawak terhadap import makanan ternakan sehingga 30 peratus, sekali gus menjimatkan perbelanjaan negeri dan memperkukuh rantaian bekalan makanan tempatan.

PROJEK peluasan ladang bernilai RM3.5 juta itu dijangka meningkatkan pengeluaran jagung sekali gus mengurangkan kebergantungan Sarawak terhadap import makanan ternakan. Foto UKAS